- Iklan -
Berita

Pemandu lori didakwa bunuh anak tiri

Abu Hassan Darus, 30, yang bekerja sebagai pemandu lori simen hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandu lori, Abu Hassan Darus, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian anak tiri perempuannya berusia empat tahun, awal bulan ini. Gambar: Bernama
Pemandu lori, Abu Hassan Darus, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian anak tiri perempuannya berusia empat tahun, awal bulan ini. Gambar: Bernama

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian anak tiri perempuannya berusia empat tahun, awal bulan ini.

Abu Hassan Darus, 30, yang bekerja sebagai pemandu lori simen hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Abu Hassan dituduh membunuh mangsa dengan niat di sebuah rumah di Kampung Halacara Baru Londah, Gemas di sini, antara pukul 3 hingga 5 petang, 1 Februari lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia serta bedah siasat.

Media pada 12 Februari lepas melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut kerana disyaki didera bapa tirinya dan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala, kesan lebam di kedua belah pergelangan tangan dan kaki serta kesan gigitan di badan selain tiga tulang rusuk kirinya patah.