- Iklan -
Berita

PDRM pantau SOP peperiksaan calon SPM, SVM, STAM

Ibu bapa disaran membuat perancangan awal bagi memastikan perjalanan calon yang menduduki peperiksaan berjalan lancar.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
PDRM akan memastikan setiap laluan di sepanjang sekatan jalan raya (SJR) berjalan lancar kepada semua pengguna jalan raya. Gambar: AP
PDRM akan memastikan setiap laluan di sepanjang sekatan jalan raya (SJR) berjalan lancar kepada semua pengguna jalan raya. Gambar: AP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bersama-sama dengan pihak sekolah bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang akan menduduki peperiksaan itu bermula Isnin berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ibu bapa juga perlu membuat perancangan awal bagi memastikan perjalanan calon yang menduduki peperiksaan berjalan lancar.

“Bagaimanapun, PDRM akan memastikan setiap laluan di sepanjang sekatan jalan raya (SJR) berjalan lancar kepada semua pengguna jalan raya.

“Laluan khas yang disediakan di SJR adalah bagi tujuan kecemasan dan petugas-petugas barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, PDRM menyerahkan 80% senarai petugas kepada kementerian kesihatan (KKM) termasuk cadangan lokasi bagi melaksanakan pemberian suntikan vaksin.

“PDRM amat menghargai keprihatinan bagi warga pasukan diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin bersama-sama warga frontlines yang lain.

“Siri perbincangan telah pun diadakan dengan KKM bagi menyelaras program imunisasi berkenaan dan kerjasama penuh akan diberikan bagi menjayakannya,” katanya.

Katanya, pada masa sama PDRM turut membuat persiapan terperinci bagi membantu kementerian sains teknologi dan inovasi (Mosti) dan KKM dalam melancarkan urusan pergerakan, pemindahan, pengedaran dan penyimpanan vaksin di tempat yang disediakan.

“PDRM komited bagi memastikan segala aspek keselamatan diberi keutamaan ketika proses ini berjalan dan semua ketua polis negeri di arahkan untuk membuat persediaan”.

Pemberian suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan dilaksanakan menerusi tiga fasa iaitu pertama melibatkan petugas barisan hadapan bermula 26 Februari sehingga April 2021.

Diikuti dengan fasa kedua bermula pada April sehingga Ogos 2021 melibatkan kumpulan berisiko tinggi manakala fasa ketiga akan menyaksikan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas sebagai penerima vaksin bermula Mei 2021 sehingga Februari 2022.