- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan dapati Malaysiakini bersalah, tetapi pengarang dibebaskan

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf membuat keputusan itu pagi ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pada 15 Jun tahun lalu, Peguam Negara Idrus Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap portal berita tesebut. Gambar: AFP
Pada 15 Jun tahun lalu, Peguam Negara Idrus Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap portal berita tesebut. Gambar: AFP

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa portal berita Malaysiakini bertanggungjawab kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya bagaimanapun Ketua Pengarangnya, Steven Gan tidak didapati bersalah atas tuduhan sama.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf membuat keputusan itu pagi ini.

Mahkamah mendenda portal itu sebanyak RM500,000 dan perlu dibayar dalam masa tiga hari  mulai 22 Februari.

Pada 15 Jun tahun lalu, Peguam Negara Idrus Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap portal berita tesebut.

Dalam afidavitnya, Idrus yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan menjelaskan permohonan untuk prosiding komital itu berkaitan komen dalam artikel bertarikh 9 Jun tahun lalu bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1”.

Menurut Idrus, beliau mengetengahkan lima komen yang dirujuk dengan jelas membawa maksud bahan kehakiman melakukan salah laku, terlibat dalam aktiviti rasuah, tidak menegakkan keadilan dan mengkompromi integriti badan kehakiman.

Pada 13 Julai tahun lepas, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Rohana menangguhkan keputusan ke tarikh yang ditetapkan kemudian untuk menyampaikan keputusan kes itu.

Semasa pendengaran permohonan itu, Peguam Kanan Persekutuan S Nakunavathy yang mewakili Idrus berhujah bahawa Malaysiakini menjadi pemudahcara bagi penerbitan komen berkenaan dan syarikat itu dianggap menerbitkan komen berkenaan yang disifatkan menghina.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Malaysiakini dan Gan berhujah, peguam negara perlu membuktikan wujud keraguan melampaui munasabah bahawa anak guamnya sengaja menerbitkan komen berkenaan, dan menambah daripada keterangan yang diberikan menunjukkan mereka tidak berniat untuk menerbitkan komen itu.