Tuesday, July 27, 2021

SPRM tahan 7 individu terlibat rasuah jualan dokumen hasil kerajaan 

Sejumlah 2,500 keping Setem Hasil Kerajaan bernilai RM250 dan RM10 yang keseluruhannya bernilai RM12.5 juta dirampas.

Other News

Tujuh individu yang terlibat dalam penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut dan melibatkan kerugian hasil kerajaan melebihi RM15 juta dan kes ini disiasat di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Ketujuh-tujuh yang terlibat berusia di antara 30 hingga 39 tahun merupakan empat kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sejumlah 2,500 keping Setem Hasil Kerajaan bernilai RM250 dan RM10 yang keseluruhannya bernilai RM12.5 juta dirampas dalam operasi besar-besaran yang diadakan semalam di sekitar Kuala Lumpur”.

Katanya, modus operandi sindiket ini ialah bayaran rasuah kepada kakitangan percetakan untuk mencuri keluar setem hasil dan sticker PLKS dari stor simpanan percetakan dan menjualnya di pasaran gelap melalui tiga orang awam yang lain.

Beliau berkata, sindiket ini dipercayai melakukan aktiviti sejak tiga tahun lalu dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit dan SPRM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kerugian dan ketirisan kepada hasil kerajaan.

Setem Hasil yang bernilai RM250 dijual di pasaran gelap dengan nilai RM40 hingga RM60.

Manakala setem hasil bernilai RM10 dijual dengan harga RM5 hingga RM6.

“Setem hasil ini selalu digunakan oleh orang ramai sebagai bayaran duti setem bagi suatu perjanjian jual beli dan kebiasaannya dibeli di pejabat Pos dan cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Selain itu, sindiket ini juga turut menjual PLKS yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi kegunaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya.

Menurut SPRM setiap PLKS dijual kepada warga asing di pasaran gelap dengan nilai RM700 hingga RM800 sekeping.

Bayaran sebenar bagi mendapatkan PLKS adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 yang dikeluarkan oleh JIM mengikut sektor pekerjaan yang dipohon dan sindiket ini tumpas hasil risikan SPRM dan JIM selama lebih enam bulan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles