Friday, October 22, 2021

Lebih 2 penumpang dibenarkan dalam satu kenderaan di kawasan PKP

Kelonggaran itu berkuat kuasa esok.

Other News

Boleh makan di kedai mengikut keluasan meja dengan penjarakan fizikal satu meter serta jumlah penumpang dibenarkan mengikut kapasiti kenderaan, merupakan antara kelonggaran baru diputuskan kerajaan bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran itu berkuat kuasa esok.

“Mengambil kira rayuan pelbagai pihak, kita longgarkan syarat-syarat ini. Bagaimanapun, saya nasihatkan supaya masyarakat membuat kawalan kendiri… kanak-kanak kecil dan warga emas tidak digalakkan untuk dibawa keluar,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Putrajaya hari ini.

PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula esok hingga 4 Mac ini.

Berdasarkan SOP di kawasan PKP sebelum ini, hanya dua orang dibenarkan untuk satu meja di kedai makan dan hanya dua penumpang dibenarkan menaiki satu kenderaan.

Ismail juga berkata mesyuarat bersetuju mencadangkan agar upacara akad nikah di kawasan PKP dibenar dijalankan di pejabat agama dan masjid dengan kehadiran had maksimum 20 orang, tidak termasuk jurunikah serta saksi.

“Bagaimanapun, urusan akad nikah ini di bawah bidang kuasa pejabat agama negeri, ia memerlukan kelulusan pihak berkuasa agama negeri tapi kita bersetuju dengan cadangan had maksimum seramai 20 orang,” katanya sambil menambah sebelum ini, hanya lima orang dibenarkan hadir bagi upacara akad nikah.

Ismail berkata bagi pernikahan dan majlis resepsi untuk bukan Islam, perkara itu akan diumumkan kementerian perpaduan.

Bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB), beliau berkata upacara pernikahan dibenarkan dengan kehadiran had maksimum 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan satu meter dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), kehadiran tetamu adalah mengikut keluasan premis dengan syarat penjarakan fizikal satu meter.

Ismail berkata bagi pernikahan dan majlis resepsi untuk bukan Islam, perkara itu akan diumumkan kementerian perpaduan.

Aktiviti bengkel, kursus, latihan, ceramah dan aktiviti berkaitan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) masih tidak dibenarkan di kawasan PKP manakala di kawasan PKPP dan PKPB, ia dibenarkan beroperasi pada had 50 peratus kehadiran peserta berdasarkan kapasiti premis serta mematuhi syarat penjarakan fizikal satu meter.

Majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta, dan majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, resepsi, akikah, tahlil dan sambutan kelahiran di kawasan PKP masih tidak dibenarkan manakala di kawasan PKPB, ia dibenarkan dengan had kehadiran tetamu sebanyak 50 peratus mengikut kapasiti premis dan mematuhi penjarakan fizikal, sementara di kawasan PKPP adalah dibenarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal.

“Bagi majlis perkahwinan di kawasan terbuka seperti di kampung contohnya, yang disyaratkan adalah mesti ada penjarakan fizikal dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara termasuk memakai pelitup muka, menyediakan QR Code dan buku kehadiran tetamu,” katanya.

Berhubung aktiviti pelancongan dan kebudayaan, Ismail berkata aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis namun bagi kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD), aktiviti pelancongan keluar masuk di kawasan terbabit adalah tidak dibenarkan.

“Semua peniaga dinasihatkan merujuk laman sesawang Majlis Keselamatan Negara serta kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna dan pada dasarnya, banyak aktiviti di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan untuk dibuka,” katanya.

Beliau juga berkata berkaitan sektor pendidikan dan sukan, kementerian belia dan sukan serta kementerian pendidikan akan membuat pengumuman berhubung aktiviti dan SOP masing-masing sepanjang pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP.

Katanya kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Sebako 1 dan 2 di Lundu, Sarawak esok seperti dijadualkan manakala PKPD di Sekolah Menengah Sultan Idris Shah 2, Gerik, Perak dilanjutkan bermula 20 Feb hingga 1 Mac.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles