Monday, December 6, 2021

Banyak lagi perlu dilakukan untuk lindungi hutan simpan, kata aktivis

Cadangan kerajaan negeri Selangor akhir tahun lepas supaya hutan simpan itu dinyahwartakan disambut dengan kebimbangan dan kemarahan NGO.

Other News

Pencinta alam sekitar menggesa tindakan segera untuk melindungi hutan simpan ketika cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) berusia 8,000 tahun di Selangor dilakukan, satu langkah yang akan menjejaskan komuniti Orang Asli dan spesis terancam yang tinggal di situ.

KLNFR yang terletak di Selatan Selangor diwartakan pada tahun 1927 sebagai hutan simpan kekal.

Ia didiami oleh lebih 2,000 orang asli Temuan termasuk spesis haiwan terancam seperti beruang matahari Malaya, tupai terbang Selangor dan ikan laga merah Langat.

Cadangan kerajaan negeri Selangor akhir tahun lepas supaya hutan simpan itu dinyahwartakan disambut dengan kebimbangan dan kemarahan NGO dan komuniti tempatan, dengan petisyen mendapat lebih 100,000 tandatangan menyokong.

Akan tetapi ini masih belum mencukupi, kata aktivis alam sekitar Shariffa Sabrina Syed Akil kepada MalaysiaNow.

“Kita perlu segera pinda undang-undang di negara ini, terutamanya Akta Perhutanan Negara 1984 yang menjadikan menteri besar atau ketua menteri paling berkuasa dalam membuat keputusan tentang nasib hutan simpan dan flora dan fauna di dalamnya,” tambahnya.

Katanya, kuasa kerajaan negeri perlu dikurangkan kepada jawatankuasa dengan anggota diberikan kuasa untuk menolak cadangan pembangunan di kawasan hutan.

“Jika dalam mana peringkat perbincangan cadangan dipersetujui, keputusan akhir mesti diberitahu kepada umum dan kerajaan mesti mematuhinya tanpa sebarang alasan,” katanya.

Shariffa yang juga presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) turut menyuarakan kebimbangan berhubung kemusnahan hutan yang sedang berlaku dalam negara, mengatakan kerajaan negeri tidak seharusnya lagi diberikan kuasa penuh untuk membuat keputusan tentang perkara itu.

Katanya, kepupusan badak sumbu Sumatera adalah disebabkan penyahhutanan yang tidak terkawal dan memberikan amaran perkara sama boleh berlaku kepada harimau Malaya, yang merupakan simbol negara jika tidak ada tindakan diambil.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mempertahankan cadangan itu, mengatakan pada Februari tahun lepas 40% kawasan berkenaan sudah menjadi hutan rosot disebabkan kebakaran.

Katanya, rancangan pembangunan untuk KLNFR merupakan cadangan yang baik dan akan merangsang ekonomi dan industri baru di pantai timur Semenanjung Malaysia termasuk juga Selangor.

Tetapi Shariffa mengatakan langkah itu hanya akan memburukkan lagi krisis iklim dan memusnahkan hidupan liar dan pada masa sama mengganggu kehidupan masyarakat Temuan, yang menetap di kawasan itu sejak berkurun lalu.

“Pembangunan hutan simpan bukan pemodenan kerana pemodenan memerlukan kemampuan pemikiran dan perancangan manusia dalam mewujudkan kehidupan lebih baik,” katanya.

Greenpeace Malaysia turut menolak cadangan tersebut, dengan memberi amaran usaha penyahwartaan KLNFR akan melepaskan 5.5 juta tan gas karbon diaoksida, yang dilihat bertentangan dengan komitmen Malaysia dalam Perjanjian Paris untuk mengurangkan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030.

“Penyahwartaan ini turut bertentangan dengan Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 untuk mengekalkan sebanyak 32% kawasan hutan di Selangor dan ia tidak selari dengan Pelan Tindakan Tanah Gambut Kebangsaan (2011-2020) serta Akta 313, Akta Perhutanan Negara 1984 dan juga lain-lain konvensyen antarabangsa yang kita ambil bahagian,” kata NGO itu dalam satu kenyataan pada Oktober lalu.

Ia juga memetik satu laporan yang mengatakan masyarakat Temuan akan dipindahkan dari tanah nenek moyang mereka jika kawasan rizab itu dinyahwartakan bagi memberi laluan kepada pembangunan.

Sementara itu, aktivis Andrew Sebastian mengatakan cadangan itu akan menjadi contoh buruk walaupun terdapat bantahan daripada NGO dan masyarakat setempat.

Dia turut mengkritik apa yang dipanggilnya sebagai kekurangan visi terhadap alam sekitar daripada kerajaan negeri yang sebelum ini melarang semua bentuk pembalakan.

“Ini mungkin disebabkan terdesak untuk mendapatkan dana,” kata Sebastian, yang merupakan presiden dan pengasas Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia.

Dia juga memberitahu MalaysiaNow mengenai unsur amalan rasuah dan salah urus takbir.

Dia menggesa masyarakat untuk terus memperkatakaan mengenai isu tersebut.

“Kita perlu terus menekan mengenai penilitian kesan kepada alam sekitar dan melakukan pendengaran awam bagi membolehkan proses pengurusan lebih baik dari segi pungutan suara dan pandangan penduduk tempatan didengari.”

Dia menambah pembangunan, terutamanya yang membabitkan ekosistem semula jadi, perlu berlandaskan kepada sains, urus tadbir yang baik dan mampan.

“Kita perlu memastikan ketelusan, menangani isu amalan rasuah, dan mengawasi hutan dan ekosistem semula jadi kita.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles