- Iklan -
Berita

Penolong pegawai agama mengaku tidak bersalah terima suapan RM26,800

Tertuduh Nurul Hazlin mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abdul Kamal Arifin Ismail.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penolong pegawai hal ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nurul Hazlin Hashim, 37, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM26,800 antara Oktober hingga November dua tahun lalu. Gambar: Bernama
Penolong pegawai hal ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nurul Hazlin Hashim, 37, (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM26,800 antara Oktober hingga November dua tahun lalu. Gambar: Bernama

Seorang penolong pegawai agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM26,800 antara Oktober hingga November, dua tahun lepas.

Tertuduh Nurul Hazlin Hashim, 37, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abdul Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Nurul Hazlin yang ketika itu penolong pegawai hal ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), didakwa secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM12,800 ke akaun bank miliknya daripada pemilik sebuah syarikat pembekalan.

Ia adalah sebagai dorongan untuknya mencadangkan syarikat terbabit mendapatkan kerja bagi Seminar Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Saudara Kita Negeri Johor 2019.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh menerima suapan wang masing-masing berjumlah RM7,000 di dalam akaun bank miliknya daripada syarikat sama sebagai dorongan untuknya mencadangkan syarikat tersebut untuk mendapatkan kerja bagi Program Santuni Orang Asli Siri 2 2019 dan Program Santuni Orang Asli Siri 3 2019.

Kesemua kesalahan itu dilakukan sekitar 27 Oktober 2019 sehingga 4 November 2019 di sebuah bank dekat Simpang Renggam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin,  pasport diserahkan pada mahkamah selain tertuduh diminta melapor diri ke Pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah dengan alasan dia mengalami masalah kewangan yang teruk.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 3 Mac depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.