- Iklan -
Berita

Pekerja asing tiada dokumen boleh dapatkan vaksin Covid-19 tanpa ditahan, kata Khairy

Pekerja asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen dirayu untuk tampil ke kedutaan negara masing-masing.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Semua pekerja asing yang mempunyai dokumen akan disusun atur untuk menerima vaksin Covid-19 secara efisien.
Semua pekerja asing yang mempunyai dokumen akan disusun atur untuk menerima vaksin Covid-19 secara efisien.

Pekerja asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen dirayu untuk tampil ke kedutaan negara masing-masing bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 tanpa perlu bimbang akan ditahan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Beliau turut memberi jaminan akan berbincang dengan pihak berkuasa untuk memperkenalkan pendekatan yang akan digunakan dalam kes khas seperti ini.

“Semua pekerja asing yang mempunyai dokumen akan disusun atur untuk menerima vaksin Covid-19 secara efisien.

“Manakala bagi pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perlu didekati menerusi kedutaan masing-masing untuk bawa mereka keluar dan diberikan vaksin tanpa menahan mereka.

“Bagaimanapun semua ini masih lagi diperincikan oleh kementerian bagaimana proses pelaksanaannya kelak,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Sebelum ini, Putrajaya mengumumkan vaksin akan diberikan kepada pekerja asing yang sudah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara serta sebagai balasan di atas layanan beberapa negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia di sana.

Khairy berkata, 300,000 petugas barisan hadapan akan menjadi kumpulan fasa pertama untuk menerima vaksin dan keutamaan diberikan kepada mereka yang bekerja di sektor kesihatan dan diikuti dengan sektor lain.

Katanya, kesediaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi antara orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bertujuan untuk memberi keyakinan kepada orang ramai yang bimbang akan keberkesanannya.

“Pelan di peringkat nasional sedang disusun atur. Kita akan mengenal pasti beberapa NGO untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kita untuk bantu memberi keyakinan kepada orang ramai untuk terima vaksin ini.

“Jadi di Malaysia ketua kerajaan sendiri ambil vaksin supaya ia akan dapat tingkatkan keyakinan orang ramai.”

Mengenai jenis vaksin yang akan diberikan, Khairy berkata ia terpulang kepada pembahagian yang ditetapkan dan ia sudah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Tiada sesiapa boleh memilih jenis vaksin yang akan diterima. Tapi jangan risau apa sahaja vaksin yang diberikan sudah diluluskan NPRA dan seharusnya tidak wujud lagi kebimbangan mengenainya.

“Kamu tidak boleh pilih vaksin. Kamu hanya akan diberi tarikh, waktu dan tempat untuk datang dan ambil suntikan vaksin.”

Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 daripada Pfizer-BioNTech pada 21 Februari dengan petugas barisan hadapan menjadi penerima awal vaksin itu.

Selain Pfizer-BioNTECH, terdapat beberapa jenis vaksin Covid-19 yang sudah dikenal pasti oleh kementerian kesihatan (KKM) menerusi NPRA iaitu vaksin keluaran Astra Zeneca-Oxford, Sinovac Biotech dan Institut Penyelidikan Gamaleya.

Sebelum ini, Muhyiddin menyasarkan 80% populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma, membabitkan tiga fasa.

Sementara itu pasukan Petugas Khas dikenali sebagai Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang akan menguruskan pembahagian vaksin 21 Februari ini akan diselia dua pengarah bersama iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Chong Chee Keong, dan Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Mohammad Ab Rahman.

Manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN), kementerian sains, teknologi dan inovasi dan KKM akan bertindak sebagai urus setia CITF.