- Iklan -
Berita

SKMM terima 120 aduan pornografi kanak-kanak, lebih 400 laman sesawang disekat

Agensi itu turut melahirkan rasa bimbang mengenai peralihan pengunaan dalam talian yang mampu meningkatkan risiko golongan bawah umur terdedah kepada bahan-bahan lucah.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak 407 laman sesawang yang mengandungi bahan ponorgrafi kanak-kanak disekat sejak 2015 hingga Januari tahun ini. Gambar: Pexels
Sebanyak 407 laman sesawang yang mengandungi bahan ponorgrafi kanak-kanak disekat sejak 2015 hingga Januari tahun ini. Gambar: Pexels

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengatakan pihaknya menerima kira-kira 120 aduan berkaitan kandungan pornografi kanak-kanak di pelbagai platform sejak 2018, dan turut melahirkan rasa bimbang mengenai peralihan pengunaan dalam talian disebabkan pandemik Covid-19 yang mampu meningkatkan risiko golongan bawah umur terdedah kepada bahan-bahan lucah.

Katanya dengan bantuan daripada pihak polis, sebanyak 407 laman sesawang yang mengandungi bahan ponorgrafi kanak-kanak disekat sejak 2015 hingga Januari tahun ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, agensi itu mengatakan semua laporan yang diterima berjaya diselesaikan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Seksyen 233 adalah bagi menghalang penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian termasuk perkongsian kandungan yang ofensif, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000, penjara satu tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Bagi kes-kes di luar peruntukan Seksyen 233 AKM, rujukan akan dilakukan kepada agensi-agensi penguat kuasa dan bantuan teknikal akan dihulurkan kepada mereka,” kata SKMM.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan kebimbangan terhadap perkongsian bahan ponografi kanak-kanak secara bebas dalam kalangan kumpulan aplikasi Telegram yang diwujudkan khas bagi tujuan pengedaran dan perdagangan bahan-bahan lucah.

Meskipun terdapat laporan dibuat terhadap kumpulan seperti itu, akan muncul yang baru dengan nama berbeza.

SKMM mengatakan akaun-akaun ini sukar dihapuskan kerana mereka yang terbabit akan selalu mencipta baru bagi mengelak diri daripada dikesan.

Bagaimanapun, SKMM berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Telegram untuk mengatasi masalah itu.

Isu-isu berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak, secara spesifik membabitkan pengedaran dan penghasilan pornografi golongan bawah umur terkandung di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Seksyen 5 akta itu melarang sebarang bentuk pembabitan dalam penghasilan pornografi kanak-kanak.

Sesiapa yang didapati terlibat dalam penghasilan bahan tersebut boleh dihukum sebat dan penjara sehingga 30 tahun.

Sementara itu, Seksyen 8 pula berkait dengaan pengedaran dan penghasilaan semula pornografi kanak-kanak.

Pesalah boleh dihukum sebat dan penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.

Mengakui tahu mengenai masalah pengedaran dan perdagangan pornografi kenak-kanak di media sosial, SKMM mengatakan akan memberi tumpuan pencegahan melalui pemerkasaan, advokasi, kesedaran dan bantuan teknikal.

Sebagai contoh, kempen Klik Dengan Bijak memberi fokus kepada peranan bersama semua pihak termasuk ibu bapa, penjaga, pendidik, badan bukan kerajaan, kementerian, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa – melibatkan sekuriti dalam talian, termasuk eksploitasi dan keselamatan kanak-kanak dalam talian.

“Inisiatif ini termasuk modul latihan advokasi dan pembangunan serta pendidikan untuk ibu bapa, penjaga dan pendidik,” kata SKMM.

Dari segi bantuan teknikal, SKMM akan membantu pihak polis dalam menghalang atau menyekat akses ke laman sesawang yang mengandungi bahan pornografi kanak-kanak dan akan menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 menerusi perkongsan maklumat serta analisis forensik digital.

Ia juga akan menghulur bantuan teknikal kepada agensi-agensi penguat kuasa lain untuk menyekat laman sesawang, kandungan atau permintaan nyahaktif akaun melalui kerjasama dan menghasilkan laporan penyalahgunaan kepada penyedia platform serta khidmat nasihat dan panduan langkah-langkah perlu kepada pengadu.

SKMM mengatakan pendidikan secara berterusan mengenai penggunaan internet mesti diteruskan bagi memastikan pengguna menggunakannya bagi tujuan yang betul.

“Penggunaan internet secara salah hanya akan mengakibatkan kerosakan moral kepada individu,” katanya.

“Melalui penguatkuasaan dan pendakwaan yang efektif kita dapat menangani isu ini”.