- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen, Adun terima vaksin pada fasa pertama

Perkara itu telah dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen dan Adun biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi yang membolehkan mereka dikategori dalam fasa pertama. Gambar: AFP
Ahli Parlimen dan Adun biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi yang membolehkan mereka dikategori dalam fasa pertama. Gambar: AFP

Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan menjadi antara penerima vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memandangkan ahli Parlimen dan Adun biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

“Oleh sebab bentuk kerja mereka begitu rupa maka, kita setuju ahli Parlimen dan Adun tak kira pihak mana, akan diberi vaksin dalam fasa pertama untuk mereka menjalankan tugas secara lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini. Turut serta Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang merupakan pengerusi bersama JKJAV.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada 26 Februari ini dan perdana menteri akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Muhyiddin berkata beliau telah meminta Adham dan Khairy untuk berbincang dengan pemimpin parti politik bagi mendapatkan persetujuan mereka dan memahami keperluan menerima vaksinasi Covid-19 berkenaan.

Ditanya mengenai permintaan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya petugas media dan guru turut dimasukkan sebagai penerima vaksin Covid-19 fasa pertama, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempertimbangkan permintaan daripada pelbagai kumpulan masyarakat.