- Iklan -
Berita

PM puji petugas barisan depan, kritik ahli politik semasa lancarkan rangka tindakan 10 tahun perpaduan negara

Muhyiddin Yassin berkata kerajaannya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang menggugat keharmonian kaum.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadikan petugas barisan hadapan yang memerangi Covid-19 sebagai contoh perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum berbanding ahli politik yang memanipulasi sentimen kaum untuk kepentingan peribadi.

“Dalam krisis Covid-19, rakyat Malaysia khususnya petugas di barisan hadapan atau frontliners telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama. Sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat kita.

“Sifat ini membantu usaha kita mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan,” katanya ketika melancarkan dasar perpaduan negara dan rangka tindakan (blueprint) perpaduan negara 2030 hari ini.

Rangka tindakan ini disediakan kementerian perpaduan negara hasil daripada perancangan selama beberapa tahun dan maklumat daripada konsultasi awam dalam tiga pentadbiran: Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Muhyiddin berkata sifat empati ini perlu disuburkan untuk memahami isi-isu kaum daripada perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh.

Katanya, masalahnya apabila isu kaum dilihat daripada sudut kaum atau kumpulan tertentu.

“Perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media,” katanya.

Muhyiddin memberikan amaran kepada “ahli politik” yang memanipulasi sentimen kaum dan menambah mereka adalah “cabaran utama” dalam hampir semua negara berbilang kaum.

“Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan.

“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara,” katanya dan menambah “kementerian (perpaduan negara) ini menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan”.

Rangka tindakan yang dilancarkan hari ini adalah strategi jangka panjang kerajaan berhubung perpaduan nasional dengan sasaran mencapai keharmonian kaum dan membentuk identiti nasional melibatkan semua latar belakang etnik.

Ini merupakan dokumen polisi kerajaan yang terbaru dilancarkan meliputi pendidikan, budaya dan keselamatan.

Dokumen yang dilihat MalaysiaNow menyenaraikan 10 cabaran untuk mencapai perpaduan nasional berdasarkan maklum balas awam sepanjang setahun lepas.

Ini termasuklah etnisiti, agama, kelas sosial, pendidikan, bahasa, jurang generasi, gender, politik federalisme, ruang bandar-desa dan media.

Muhyiddin berkata, sebarang usaha untuk mencapai perpaduan kaum akan berdasarkan kepada Rukun Negara yang diperkenalkan selepas tragedi berdarah 13 Mei, 1969.

“Saya juga suka menekankan bahawa usaha mencapai perpaduan merupakan suatu perjalanan yang jauh dan berliku. The quest for unity is a journey not a destination,” katanya.