- Iklan -
Berita

Dzulkefly hina pelantikannya sebagai anggota jawatankuasa darurat, kata penganalisis

Dzulkefly seperti kebudak-budakan yang baru nak belajar bermain politik.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad. Gambar: Facebook
Bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad. Gambar: Facebook

Kenyataan Dzulkefly Ahmad berhubung proklamasi darurat adalah tidak matang dan penganalisis mengatakan ahli Parlimen Kuala Selangor itu “menghina” pelantikannya sebagai anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara, Ariffin Zakaria.

Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Dzulkefly tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum Jawatankuasa Khas Bebas Darurat mula bermesyuarat.

“Dzulkefly salah seorang wakil pembangkang yang paling kecewa selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh. Ia jelas kelihatan apabila sampai sekarang tidak ada sekali pun dia dan PH sokong kerajaan PN,” katanya kepada MalaysiaNow yang mempertikaikan dakwaan Dzulkefly bahawa darurat yang hanya untuk politik dan bukannya untuk memerangi Covid-19.

“Dia sengaja cari perhatian seperti kebudak-budakan yang baru nak belajar bermain politik. He is playing kindergarten politics.”

Dalam wawancara bersama portal The Malaysian Insight semalam, bekas menteri kesihatan itu berkata, kerajaan mempunyai kuasa mencukupi untuk menangani penyebaran virus yang sudah mencapai empat angka sejak akhir tahun lalu tanpa perlu menggunakan kuasa darurat.

Pada 9 Februari lalu, Putrajaya mengumumkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dianggotai 19 orang termasuk bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang termasuk Dzulkefly.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) juga bersependapat dengan Shamsul mengatakan kenyataan Dzulkefly merupakan satu pandangan yang tidak beretika dapatah lagi beliau merupakan ketua Pasukan Tindakan Khas Covid-19 Selangor.

“Dia sengaja cari perhatian seperti kebudak-budakan yang baru nak belajar bermain politik. He is playing kindergarten politics.”

“Amat tidak wajar untuk dia mengeluarkan pandangan pra matang begitu kerana sebagai anggota jawatankuasa itu dia sepatutnya mengeluarkan pandangan di dalam jawatankuasa.

“Tidak beretika untuk ahli mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai kelangsungan darurat di luar jawatankuasa kerana ia boleh mempengaruhi pihak lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, sebarang kenyataan ahli jawatankuasa perlu dibuat secara objektif setelah dibuat kajian terperinci mengikut kehendak dan terma yang ditetapkan.

“Tindakan beliau ini seolah-olah tidak menghormati Agong yang membuat lantikan beliau sebagai anggota jawatankuasa itu.”

Kamarul berkata, tidak mustahil kenaikan mendadak kes Covid-19 di Selangor yang sehingga kini masih tertinggi ekoran kegagalan aplikasi SELangkah dan pasukan khas yang diterajui ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

“Ya, pastilah persepsi masyarakat adalah ia merupakan kegagalan beliau sebagai ketuanya.

“Sebab itu dia tak boleh lantang mengkritik kerajaan pusat bila keadaan di Selangor yang dia terajui paling teruk.”

Shamsul menambah, penularan kes Covid-19 di Malaysia adalah disebabkan kegagalan kerajaan PH ketika itu yang tidak mengambil sebarang tindakan segera.

“Masa PH memerintah dan Dzulkefly menteri kesihatan Covid-19 sudah pun mula merebak akhir Disember 2019, Vietnam ambil tindakan tapi Malaysia tak buat apa-apa sehingga kerajaan bertukar kepada Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin Yassin.”

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

Manakala Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai urus setia jawatankuasa itu.