- Iklan -
Berita

Buskers terpaksa menyanyi secara dalam talian, pendapatan terjejas 70%

Pendapatan seniman jalanan itu membolehkan Meor menyara keluarganya, tetapi semuanya berubah selepas PKP 2.0 dikuatkuasakan.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Meor Yusof Aziddin bersiap sedia bagi melakukan persembahan secara langsung di Facebook miliknya.
Meor Yusof Aziddin bersiap sedia bagi melakukan persembahan secara langsung di Facebook miliknya.

Golongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 ialah yang bergantung kepada pendapatan harian seperti seniman jalanan atau popular dengan gelaran “buskers”.

Meor Yusof Aziddin Meor Hassan yang menjadi buskers sepenuh masa sejak 10 tahun lalu kehilangan pendapatan sebanyak 70% selepas beralih kepada secara dalam talian sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 13 Januari lalu disebabkan kes jangkitan harian Covid-19 konsisten mencecah empat angka sejak Disember.

“Berbeza dengan persembahan fizikal apabila orang yang lalu lalang itu sentiasa berbeza, dan tempoh persembahan juga lama,” kata lelaki berusia 54 tahun itu apabila ditemui MalaysiaNow.

“Pendapatan menerusi busking online itu tidak banyak diperoleh seperti kebiasaanya kerana tempoh masa persembahan dibuat hanya sekitar satu jam sahaja”.

Meor merupakan seniman jalanan sepenuh masa yang mendapat kebenaran daripada pengurusan KTMB dan ruang di KL Sentral untuk membuat persembahan sejak sedekad lalu.

Sebagai seniman jalanan sepenuh masa, Meor mampu membesarkan keempat-empat anaknya sehingga yang sulung selesai menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi dan sudah bekerja.

Tetapi semuanya berubah selepas PKP 2.0 dilaksanakan.

Akan tetapi Meor tidak berputus asa, dia beralih kepada membuat persembahan secara dalam talian menerusi akaun Facebook Meor Pesta Jiwa yang mempunyai hampir 5,000 pengikut.

“Kebiasaannya saya bermula dari tengah hari hingga pukul 7 malam.

“Tetapi online ia agak terhad dan hanya orang-orang tertentu seperti rakan-rakan dan peminat yang menonton. Boleh dikatakan orang yang menonton itu sama dan tidak berubah,”katanya yang sudah menerbitkan 10 album secara independen yang kebanyakan lagu dan liriknya dicipta sendiri.

Roslinda Hasim membantu suaminya bagi melakukan persiapan sebelum melakukan persembahan secara dalam talian.

Meor berkata, membuat persembahan secara bersemuka berbeza berbanding secara dalam talian.

“Jumlah tontonan tidak tentu kadang-kala ramai dan boleh jadi kurang. Persembahan juga tidak boleh dibuat untuk tempoh yang lama kerana bimbang penonton akan berasa bosan.

“Mereka yang memberi sumbangan sebelum ini mustahil untuk sentiasa memberi sumbangan setiap hari. Masing-masing turut memiliki komitmen masing-masing,” kata Meor mengenai usahanya dalam mencari sumber pendapatan dalam musim PKP.

Berhenti menulis selepas komputer diberi kepada anak

Selain menjadi seniman jalanan dan mencipta lagu, Meor juga sebelum ini menulis di akhbar dan portal berita, kebanyakannya tentang kehidupan, muzik dan seni.

Namun bapa kepada empat orang anak itu juga terpaksa mengorbankan kecintaannya dalam bidang penulisan kerana kekurangan kelengkapan selepas komputer riba yang dimilikinya diberikan kepada anaknya untuk kegunaan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

Pada masa sama, Meor turut memiliki seorang anak kurang upaya (OKU) yang memerlukan lebih perhatian.

“Anak ketiga saya belajar di kolej perlu menggunakan komputer begitu juga dengan anak bongsu yang masih bersekolah tingkatan empat.

“Disebabkan itu saya utamakan keperluan anak-anak dan menyediakan kelengkapan dapur kerana saya tak mahu anak-anak lapar.

“Saya mengharapkan pandemik segera berakhir sekali gus membolehkan kita hidup seperti biasa. Bukan sahaja boleh membuat persembahan seperti biasa tetapi dapat juga meringankan beban pendapatan yang terjejas,” katanya.

Antara album Meor yang laris terjual sebelum ini bertajuk Dari Rakyat Untuk Rakyat, Redup dan Itu padang… Aku di Situ.

Selain itu, dua buah buku kompilasi tulisannya seperti Gila Muzik dan Sembang Tepi Jalan: Syurga Yang Hilang.

Bagi yang ingin menonton persembahan secara dalam talian dan menyumbang kepada Meor bolehlah ke akaun Facebook Meor Pesta.