- Iklan -
Berita

Exco Kedah pertahankan pembangunan tanah sawah padi

Perancangan pembangunan tempatan ditetapkan bagi memenuhi keperluan semasa rakyat terutamanya di Kota Setar.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Dianggarkan sekitar 35,000 hektar kawasan sawah di Kedah ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu. 
Dianggarkan sekitar 35,000 hektar kawasan sawah di Kedah ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu. 

Walaupun dibelenggu kontroversi kehilangan tanah sawah padi bagi tujuan pembangunan, kerajaan negeri memberi jaminan Kedah akan kekal sebagai jelapang padi negara, kata Pengerusi Jawatankuasa, Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah Azman Nasruddin.

Katanya pembangunan untuk memenuhi keperluan rakyat sudah ditetapkan dalam rancangan tempatan terutama di kawasan bandar.

“Sektor pembangunan ditetapkan dalam rancangan tempatan bagi pembangunan perumahan atas keperluan semasa dan kawasan komersial,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kerajaan negeri akan pastikan kawasan tanah yang cukup untuk pertanian padi dan keperluan pembangunan khususnya di daerah Kota Setar”.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas itu tidak memberikan reaksi apabila ditanyakan apakah punca tanah sawah padi diambil untuk kegunaan pembangunan mahupun mengenal pasti kawasan yang akan terlibat kelak.

Baru-baru ini, Persatuan Penggunaan Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera menyelamatkan jelapang padi di negara ini yang terjejas akibat “kepupusan” tanah sawah sejak lebih 10 tahun lalu.

Ia susulan laporan media baru-baru ini mengenai kehilangan tanah seluas 32,000 hektar selepas ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan itu boleh menggugat ekonomi dan sektor pertanian negara pada masa akan datang jika puncanya tidak ditangani segera.

Menurut Mohideen, injauan CAP turut memperlihatkan kawasan tanah yang ditimbus menyebabkan golongan petani tidak lagi mengusahakan sawah padi mereka.

“Dianggarkan sekitar 35,000 hektar kawasan sawah di negeri ini ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Jumlah kawasan sawah yang tinggal sekarang dianggarkan seluas 270,000 hektar termasuk 100,685 hektar di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dikhuatiri semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

“Keadaan ini menyebabkan pengeluaran padi di Kedah mengalami penyusutan kira-kira 350,000 tan setahun bersamaan nilai sebanyak RM420 juta,” kata CAP dalam satu kenyataan.