- Iklan -
Berita

Vaksin Covid-19 diberikan percuma kepada semua, termasuk warga asing

Kerajaan mengatakan ia merupakan langkah berperikemanusiaan untuk memastikan imuniti kelompok.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kata kerajaan bekalan vaksin yang diperolehi lebih dari mencukupi untuk rakyat Malaysia.
Kata kerajaan bekalan vaksin yang diperolehi lebih dari mencukupi untuk rakyat Malaysia.

Putrajaya memutuskan vaksin Covid-19 percuma akan diberikan kepada semua, termasuk warga asing yang menetap di Malaysia, mengatakan ia merupakan langkah berperikemanusiaan untuk memastikan imuniti kelompok.

Katanya, bekalan vaksin yang diperolehi kerajaan lebih dari mencukupi untuk rakyat Malaysia.

“Ia juga selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik Covid-19,” kata kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan Dr adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Setakat ini Malaysia sudah berjaya mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 daripada lima syarikat berjumlah melebihi RM2 bilion, mencukupi untuk 80% populasi bagi mencapai imuniti kelompok.

Vaksin Pfizer akan menjadi yang pertama tiba di Malaysia pada akhir bulan ini, walaupun terdapat sekatan eksport kontroversi daripada Kesatuan Eropah berhubung vaksin yang dikeluarkan di blok itu.

Ini diikuti dengan Covax (Mac) dan AstraZenaca (April).

Tiga lagi vaksin yang turut dibeli ialah Sinovac dan CanSino (China) dan Gamaleya (Russia), menjadikan jumlah keseluruhan 23.9 juta dos.

“Rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing (sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan), kos rawatan dan kuarantin pesakit Covid-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kepada kluster pekerja asing.

“Pekerja asing yang menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara dan layanan oleh sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara tersebut,” kata kenyataan itu.