- Iklan -
Berita

Mahkamah benarkan saman RM15 bilion Puncak Niaga terhadap kerajaan Selangor, Khalid Ibrahim diteruskan

Bagaimanapun mahkamah mengekal keputusan terdahulu terhadap tuntutan kepada Azmin.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Wisma Razali yang menempatkan pejabat Puncak Niaga di Shah Alam.
Wisma Razali yang menempatkan pejabat Puncak Niaga di Shah Alam.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan saman RM15 bilion diteruskan terhadap kerajaan Selangor dan bekas menteri besar Khalid Ibrahim yang difailkan syarikat konsesi air Puncak Niaga.

Mahkamah bagaimanapun menolak tuntutan terhadap seorang lagi defendan yang dinamakan syarikat itu iaitu menteri kanan Mohamed Azmin Ali, yang mengambil alih jawatan menteri besar daripada Khalid selepas penstrukturan semula air di Selangor.

Dalam penghakiman hari ini, panel tiga hakim terdiri daripada Hanipah Farikullah, Nantha Balan ES Moorthy dan Vazeer Alam Mydin Meera mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini untuk membatalkan tuntutan terhadap Azmin, tetapi mengarahkan Khalid dan kerajaan negeri dibicarakan.

Mahkamah turut mengarahkan Puncak Niaga membayar kepada Azmin sebanyak RM10,000.

Dalam saman yang dikemukakan oleh Puncak Niaga pada 2018, syarikat itu mendakwa mereka menyalahgunakan kuasa sebagai pejawat awam dengan mengancam atau mencuba untuk memaksa kerajaan persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 untuk memaksa pengambilalihan industri air Selangor.

Antara lain mereka mendakwa, penangguhan rundingan mengenai usaha penstrukturan semula industi air di Selangor selama lima tahun adalah untuk manfaat politik peribadi Azmin dan Khalid.

Ia juga mendakwa rundingan itu tidak mengikut berlandaskan konsep “urus niaga suka sama suka”, menyebabkan Puncak Niaga mengalami kerugian dan kerosakan.

Puncak Niaga menuntut ganti rugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara berjumlah RM13.5 bilion.

Ia juga menuntut ganti rugi berhubung perbezaan antara nilai PNSB Water Sdn Bhd, yang dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada kadar RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion, dan menuntut pertimbangan pembelian sebenar berjumlah RM1.56 bilion di bawah perjanjian pembelian saham bertarikh 11 November 2014 antara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi pada Februari 2018 membenarkan permohonan oleh Azmin, Khalid dan kerajaan negeri untuk membatalkan saman tersebut, dengan mengatakan kenyataan tuntutan Puncak Niaga tidak mematuhi peraturan mahkamah.

Puncak Niaga kemudian bertindak menfailkan rayuan terhadap keputusan itu, yang ditolak oleh mahkamah hari ini.

Puncak Niaga diwakili oleh peguam Gopal Sreenevasan dan Razlan Hadri; Khalid diwakili oleh Edmund Bon dan New Sin Yew; Azmin diwakili oleh N Surendran dan Masturina Rodzi; dan kerajaan Selangor diwakili oleh penasihat undang-undangnya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.