- Iklan -
Berita

Tanpa bekalan elektrik, mandi air perigi, ‘Uncle Kapitan’ tetap gembira menanti tahun baru

Lim Tiap Beng menaruh harapan agar rumahnya memiliki bekalan elektrik supaya mudah bergerak pada waktu malam.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Lim Tiap Beng atau dikenali sebagai 'Uncle Kapitan' hidup sendirian di sebuah rumah usang sejak 34 tahun lalu di Jelebu, Negeri Sembilan.
Lim Tiap Beng atau dikenali sebagai 'Uncle Kapitan' hidup sendirian di sebuah rumah usang sejak 34 tahun lalu di Jelebu, Negeri Sembilan.

Setiap manusia bahagia dengan cara masing-masing, begitu juga bagi seorang warga emas yang hidup sebatang kara lebih kurang 75km dari Kuala Lumpur walaupun rumahnya tiada bekalan elektrik dan mandi menggunakan air perigi.

Walaupun hidup serba kekurangan, Lim Tiap Beng, 83 yang tinggal di Kampung Kapitan di Jelebu, Negeri Sembilan tetap gembira menantikan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba.

“Saya bukan duduk sini secara haram. Ia pemberian ehsan oleh seorang bekas tentera sebagai upah saya menjaga kebun duriannya di belakang kubur,” kata Lim yang dikenali sebagai “Uncle Kapitan” kepada MalaysiaNow ketika berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.

“Saya sudah duduk sini lebih 50 tahun seorang diri selepas emak saya meninggal.”

Anak ketiga daripada lima beradik itu kini hanya mempunyai seorang kakak selepas yang lain-lain meninggal dunia.

“Kakak saya duduk di Taman KSM, abang saya kahwin dengan Orang Asli tapi sudah mati dan mak meninggal pada 1988.

“Kadang-kadang anak saudara saya akan datang hantar makanan. Tapi saya tidak kisah.”

Lim berehat di rumahnya yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan air.

Jiran tetangga ambil berat

Menurut Lim, jiran tetangganya tidak jemu menghulurkan makanan dan bantuan kepada dirinya.

“Jiran sini semua tidak pernah marah saya. Saya jaga kebersihan setiap hari saya mesti sapu keliling rumah pastikan tiada sampah berkumpul hingga timbul bau yang tidak enak.”

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, Lim bernasib baik tidak mempunyai sebarang penyakit.

Makanan kegemarannya juga mudah, nasi kosong berlauk telur masin atau ikan masin.

Tambahan pula, Lim tidak makan apa jua jenis daging sebagai hidangan.

Untuk menampung kehidupannya, Lim berbakti kepada tanah dengan  menanam pokok pisang dan buah kuinen.

“Saya juga ada seorang rakan baik. Kami boleh dikatakan rakan kongsi jika ada kerja-kerja kampung yang perlu dilakukan kami akan lakukan bersama.

“Selalunya kami akan dapat upah untuk cuci dan sapu kubur. Jadi kami akan buat sama-sama,” katanya.

Bersahabat lebih 30 tahun

Ng Chook Fah, 70, yang sudah berkawan lebih 30 tahun dengan Lim sentiasa mengambil berat keadaan sahabatnya yang tinggal seorang diri.

“Pernah sekali dia pergi buat pemeriksaan kesihatan dan doktor beri ubat sakit jantung untuk makan selama tiga hari, tapi dia sudah lupa dan habiskan ubat itu dalam masa beberapa jam.

“Dia terus pengsan dan kami beri bantuan yang sepatutnya sehingga dia kembali sedar seperti biasa,” kata Ng kepada MalaysiaNow.

Sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut tidak lama lagi, Lim menantinya dengan penuh gembira walaupun akan menyambutnya seorang diri, seperti tahun-tahun sebelumnya.

Lim berharap akan mendapat bekalan elektrik kerana apabila waktu hujan atau keadaan gelap dia tidak mampu bergerak kerana akan membahayakan dirinya.

“Saya tidak kisah apa saja bantuan. Tapi sempena Tahun Baru Cina ini saya harap masih ada bantuan yang dapat bantu saya hidup dengan selesa sedikit.

“Itu saja saya minta,” katanya.