- Iklan -
Berita

Suhakam suarakan kebimbangan berhubung dakwaan polis guna kekerasan terhadap orang awam

Suhakam mengatakan penggunaan kekerasan haruslah hanya mengikut keperluan dan bersekadar dengan objektif dan tahap tentangan yang dihadapi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suhakam yakin bahawa penubuhan satu badan yang lebih bebas, adil dan telus akan mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.
Suhakam yakin bahawa penubuhan satu badan yang lebih bebas, adil dan telus akan mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan penggunaan kekerasan oleh polis terhadap orang awam, menggesa kerajaan menyegerakan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020, bagi menggembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

“Kerajaan perlu memastikan RUU IPCC ini merangkumi intipati Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2005,” kata Suhakam dalam satu kenyataan hari ini.

“Selaras dengan panduan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Dadah dan Jenayah (UNODC) mengenai Kebertanggungjawapan, Pengawasan dan Integriti Polis, Suhakam berpandangan bahawa proses semakan yang berkesan oleh sebuah badan pengawasan penguatkuasaan amat penting terutamanya dalam menangani kes-kes salah laku berkaitan penggunaan kekerasan dan senjata api yang melampau atau menyalahi undangundang oleh pegawai polis”.

Kenyataan Suhakam ini dikeluarkan selepas media melaporkan baru-baru ini berhubung dakwaan serangan anggota polis terhadap seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan rokok.

“Walaupun negara kita kini berada dalam keadaan darurat, ini tidak bermakna mana-mana pihak boleh menyalahgunakan kuasa mereka dalam apa jua keadaan. Penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa bukanlah sesuatu yang baru.

“Antara tahun 2015-2020, Suhakam menerima sejumlah 479 aduan berhubung penggunaan kekerasan yang melampau dan salah guna kuasa oleh pihak polis,” kata kenyataan itu.

Menurut Suhakam penggunaan kekerasan haruslah hanya mengikut keperluan dan bersekadar dengan objektif dan tahap tentangan yang dihadapi.

“Suhakam yakin bahawa penubuhan satu badan yang lebih bebas, adil dan telus akan mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis”.