- Iklan -
Berita

Restoran di Cyberjaya sedia perkhidmatan makan dalam kereta sepanjang PKP

Walaupun kerajaan menghadkan dua orang duduk semeja di dalam restoran, Padi House tampil dengan cara unik menyajikan makanan.

Yee Hans Ng
2 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan boleh menikmati hidangan di dalam kereta di Padi House Cyberjaya tanpa mengabaikan prosedur operasi standard.
Pelanggan boleh menikmati hidangan di dalam kereta di Padi House Cyberjaya tanpa mengabaikan prosedur operasi standard.

Walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan makanan dan minuman, ia tidak menghalang sebuah restoran di Cyberjaya untuk menggunakan keadaan itu tampil dengan idea kreatif menyajikan makanan kepada pelanggannya.

Menurut jurucakap restoran itu, sama seperti premis perniagaan makanan lain, Padi House turut terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan pada 13 Januari – menyaksikan penurunan sehingga 80% hasil jualan.

Banyak restoran terpaksa gulung tikar atau terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pendapatan hasil jualan bungkus dan perkhidmatan penghantaran, dua kaedah yang dibenarkan sehingga ke hari ini.

Namun, Padi House nekad tampil dengan pendekatan berbeza untuk menarik pelanggan.

“Kami melihat pengguna media sosial berkongsi gambar mereka makan di dalam kereta dengan menggunakan pelapik makanan khas yang berfungsi sebagai meja.

“Oleh itu, kami fikir kami juga boleh guna kaedah sama, dan menyajikan makanan menggunakan pinggan dan kutleri sama seperti makan di restoran,” kata jurucakap itu kepada MalaysiaNow.

Pelanggan hanya perlu memandu kenderaan ke pintu masuk, kemudian akan diberikan menu oleh pekerja.

Sebaik sahaja MySejahtera diimbas, pesanan boleh dilakukan dan nombor akan diletakkan pada cermin depan kereta.

Apabila pesanan siap, pelanggan akan diberikan meja khas bagi membolehkan mereka untuk menikmati hidangan dengan selesa di dalam kereta.

Pelanggan hanya perlu membunyikan hon dan melambai kepada pekerja menandakan mereka selesai menjamu selera.

Pekerja akan datang mengambil peralatan untuk dibersihkan dan dinyahkuman untuk kegunaan pelanggan seterusnya.

Tambah jurucakap itu, idea ini diinspirasikan daripada cara syarikat penerbangan menghidang makanan yang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat.

Bagi Padi House pengalaman menjamu selera di dalam kereta bukan satu-satunya yang mereka ingin tawarkan kepada pengunjung.

“Kami dalam perancangan menambah pengalaman menonton sambil menjamu selera supaya ia lebih menghiburkan dan tidak membosankan,” tambah jurucakap itu.

Semalam kerajaan membenarkan restoran dan kedai makan menerima pelanggan dengan jumlah maksimum dua orang satu meja dengan penjarakan sosial satu meter setiap meja.

PKP 2.0 yang dilaksanakan sekarang ini bakal tamat pada 18 Februari ini.