Thursday, December 2, 2021

Harga komputer riba naik, kerajaan diminta campur tangan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengatakan pemberian tablet dan komputer riba percuma hanya meliputi 3% murid.

Other News

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya satu langkah segera diambil bagi mengawal harga runcit komputer riba dan tablet selepas terdapat laporan berlaku kenaikan harga sehingga 25% disebabkan pelaksanaan pembelajaran di rumah bagi menggantikan kelas fizikal untuk mengekang penularan Covid-19.

Mengambil contoh satu kes di mana sebuah tablet berjenama mampu milik yang berharga RM399 sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dijual pada harga RM599, dengan alasan berlaku kekurangan bekalan dan kenaikan kos penghantaran dari negara pengeluar adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

“Pengeluar barangan ini, yang merupakan syarikat besar, seharusnya mengurangkan margin keuntungan mereka sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka dalam masa sukar ini,” kata Presiden CAP Mohideen Abdul Kader.

“Peruncit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada kekurangan sementara ini untuk menaikkan harga untuk membuat keuntungan yang tidak sepatutnya. Pihak berkuasa sepatutnya sudah dapat menjangkakan masalah ini dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan terdapat bekalan yang mencukupi, kerana ia hampir setahun sejak PKP 1.0 dilaksanakan.”

Berpuluh-puluh ribu murid kembali ke sekolah pada 20 Januari lalu, dengan pelajar Tingkatan 5 dan 6 dibenarkan menghadiri kelas fizikal.

Selebihnya terpaksa mengikuti kelas melalui pengajaran dan pembelajaran dari rumah atau PdPR.

Bagaimanapun, kaedah pembelajaran dalam talian itu masih menghadapi beberapa masalah termasuk kekurangan peranti dan infrastruktur internet dikatakan menjadi halangan utama.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 November lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengumumkan pemberian bantuan komputer riba kepada 150,000 murid di 500 buah sekolah.

Namun, CAP mengatakan peruntukan RM150 juta bagi tujuan itu tidak mampu menangani masalah yang berlaku sekarang ini.

Satu tinjauan yang dilakukan kementerian pendidikan pada Mac tahun lalu, membabitkan 670,000 ibu bapa dan kira-kira 900,000 murid, mendapati 36.9% daripada mereka tidak memiliki sebarang peranti.

CAP mengatakan terdapat kira-kira 4.9 juta murid di sekolah-sekolah di seluruh negara, dan jumlah 150,000 peranti yang disediakan kerajaan hanya akan meliputi 3% daripada populasi pelajar.

“ Ini tidak termasuk mereka yang berada di peringkat pengajian tinggi yang kita tidak boleh anggap kaya untuk mampu membeli perkakasan itu,” katanya.

CAP turut mengkritik akses internet negara dengan mengatakan ada kawasan-kawasan masih memiliki gangguan dan sangat perlahan.

“Jika komputer riba dan tablet tidak dapat diperolehi dengan mudah, maka kerajaan seharusnya tidak meneruskan dengan pendidikan dalam talian dan menimbangkan kaedah alternatif,” katanya.

“Kanak-kanak yang berada dalam kategori mudah terjejas boleh belajar di rumah. Guru bersara yang masih layak untuk bekerja boleh digerakkan bagi tujuan ini.”

CAP turut mendesak supaya perkhidmatan internet ditingkatkan dan liputan boleh diakses di seluruh negara.

“Di mana ini tidak mungkin, contohnya di kawasan pedalaman, pengaturan lain mestilah dibuat untuk mendidik kanak-kanak ini.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles