Saturday, December 4, 2021

Gelaran Datuk Farid Kamil, Boy Iman ditarik balik

Surat penarikan balik pengurniaan darjah kebesaran terhadap mereka berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Other News

Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Datuk kepada dua pelakon dan penerbit, Farid Kamil serta Boy Iman antara yang ditarik balik dan dibatalkan, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sallehuddin Ishak.

Sallehuddin yang juga pendaftar darjah kebesaran negeri berkata perintah tersebut dibuat atas perintah Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan surat penarikan balik pengurniaan darjah kebesaran terhadap mereka berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Turut dibatalkan ialah pengurniaan darjah kebesaran juga membawa gelaran Datuk kepada dua ahli perniagaan tempatan iaitu Wong Shee Kai @ Ricky dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemman serta ahli perniagaan wanita warga Vietnam, Tran Thi [email protected]

Surat penarikan terhadap Wong dan Tran Thi Mai juga berkuat kuasa pada 1 Februari lalu, manakala surat Syed Mohammad Faiz berkuat kuasa 12 Nov 2020.

Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari dan Boy Iman atau Noruliman A. Rahman serta tiga lagi yang dinamakan merupakan penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sebelum ini.

“Penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-undang Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Tiada alasan penarikan gelaran itu diberikan, namun difahamkan semua individu terlibat pernah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan seperti jenayah, menipu dan rasuah.

Selain itu, Wong yang juga pengasas sebuah syarikat juga kini disenaraikan sebagai orang dikehendaki berhubung kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 18 Ogos 2019, kerajaan negeri Pahang mengisytiharkan beberapa pembaharuan dalam tatacara penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri, yang antara lain menyatakan siasatan serta-merta perlu dibuat terhadap penerima darjah kebesaran yang dikaitkan dengan salah laku, ketidakjujuran, kekurangan integriti atau perkara yang mencemarkan nama baik penerima.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles