Tuesday, October 26, 2021

Tulisan bekas peguam negara tidak sensitif dan berbaur perkauman, kata Anwar

Anwar Ibrahim mengatakan pandangan bekas peguam negara itu tentang peguam kerajaan bukan sahaja satu penghinaan tetapi berbaur perkauman.

Other News

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menyerang autobiografi Tommy Thomas, mengatakan pandangan bekas peguam negara itu tentang peguam kerajaan bukan sahaja satu penghinaan kepada penjawat awam tetapi berbaur perkauman.

“Ia adalah sikap prasangka terhadap kaum Melayu kesan daripada sikap perkauman yang bertahun-tahun lamanya,” kata Anwar dalam reaksi pertamanya terhadap buku autobiografi Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness”.

“Adalah penting untuk kita elakkan dari membuat sebarang kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai penjelmaan semula fikrah superior penjajah”.

Anwar turut mempertahankan bekas perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.

Dalam bukunya, Thomas mengatakan Razak yang mengisytiharkan darurat selepas insiden 13 Mei 1969 dan menjadi perdana menteri kedua Malaysia melakukan “kudeta” untuk merampas kuasa.

“Tommy menambah lagi bahawa ‘amat sukar untuk percaya bahawa Tun Razak tidak bersetuju dengan anak-anak muda dari satu kaum yang bertempik dan mengherdik kaum lain’.

“Adalah amat tidak bertanggungjawab tanggapan seperti itu datang dari seseorang yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam sistem undang-undang negara,” katanya.

Anwar berkata, Thomas gagal untuk mengemukakan sebarang bukti untuk tanggapannya itu, “tetapi yang disajikan kepada kita sebaliknya adalah sangkaan dan teori konspirasi”.

Katanya, adalah silap bagi Thomas sewenang-wenangnya mendakwa Razak mendapat manfaat secara politik daripada pengisytiharan darurat.

“Ia adalah suatu bentuk celaan kepada ingatan ramai rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu yang menyanjung tinggi sosok besar Tun Razak,” katanya.

Anwar turut mempertahankan bekas peguam cara III Mohamad Hanafiah Zakaria dianggap Thomas tidak cekap untuk memimpin dan mengawasi pendakwaan kes salahlaku 1MDB.

“Memadai untuk mengatakan bahawa Tommy sepertinya hilang arah yang tidak hanya mengesankan Hanafiah tetapi juga seluruh Jabatan Peguam Negara kerana ternyata pernyataan seperti itu sangat memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Anwar berkata, Thomas menghina peguam kerajaan apabila mengatakan mereka sebagai “penjawat awam yang mengharapkan pencen setelah bersara”.

“Tommy tidak hanya menghina Jabatan Peguam Negara tetapi merobek imej serta reputasi keseluruhan penjawat awam di negara ini”.

“Tanggapan bahawa para penjawat awam bekerja di sektor awam hanya untuk mendapat gaji tetap dengan harapan akan menerima pencen sesudah bersara adalah tanggapan yang menjijikkan dan langsung tidak berasaskan kritikan yang rasional.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles