Friday, May 7, 2021

Subahat rasuah, abang Azeez Rahim dilepas tanpa dibebas

Dua pertuduhan bersubahat membabitkan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Perak dan Kedah.

Other News

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan tanpa membebaskan Abdul Latif Abdul Rahim, abang kepada bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez, daripada dua pertuduhan bersubahat dengan adiknya itu menerima rasuah membabitkan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Perak dan Kedah.

Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed berkata Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas pihaknya memohon Abdul Latif dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut dengan menjadikannya saksi pendakwaan.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbangkan permohonan pihak pembelaan untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Abdul Latif selepas dua representasi diserahkan kepada AGC tiga bulan lalu.

“Oleh itu, pihak kami memohon untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh (Abdul Latif) daripada pertuduhan ini. Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Perbicaraan kes Abdul Azeez dan abangnya itu sepatutnya bersambung hari ini di hadapan Azura.

Sementara itu, Adam berkata perbicaraan kes yang dijadualkan berlangsung hari ini hingga Rabu dilapangkan selepas pihaknya memaklumkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Abdul Azeez untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu permohonannya bagi membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya didengar pada 23 Februari ini.

Menurutnya, Abdul Azeez tidak hadir pada prosiding hari ini dan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakilinya mengemukakan sijil sakit tertuduh dari 5 hingga 11 Februari.

Dalam pada itu, peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Abdul Latif berkata pihaknya memohon agar anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan tersebut sekiranya pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pendakwaan.

“… sepatutnya anak guam saya dilepas dan dibebaskan kerana ia tidak adil dan dia akan fikir pendakwaan akan menuduhnya semula sekiranya dia tidak dibebaskan daripada pertuduhan itu,” katanya.

Abdul Azeez, 54, yang juga ahli Parlimen Baling menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek  jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong di Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Abangnya, Abdul Latif, 63, didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Projek itu melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak) bernilai RM644,480,000.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles