Tuesday, December 7, 2021

LHDN saman sekutu Jho Low, tuntut tunggakan cukai RM68 juta

Eric Tan Kim Loong merupakan sekutu rapat Jho Low dan turut terlibat dalam transaksi berbilion ringgit dalam skandal 1MDB.

Other News

Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menfailkan saman terhadap Eric Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, memintanya membayar cukai pendapatan berjumlah RM68 juta.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 15 Januari lepas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Tan, 43, sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu bagi tahun taksiran  2010 hingga 2013.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli  hari ini yang kemudiannya menetapkan 16 Mac ini untuk pengurusan kes berkenaan.

Mengikut pernyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2010, 2011, 2012 dan 2013, defendan telah ditaksirkan dengan cukai pendapatan berjumlah RM2,706,803.84, RM22,090,949.92, RM35,479,911.48 dan RM1,538,473.04 melalui Notis-notis Taksiran masing-masing bertarikh 30 September 2020.

Plaintif mendakwa Notis-notis Taksiran itu telah dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 24 November 2020 ke alamat terakhirnya di Taman Pusat Kepong, di sini yang diketahui oleh plaintif pada masa itu, namun notis berkenaan tidak pernah dikembalikan kepada plaintif tanpa serah.

Menurut plaintif, seterusnya lebihan kredit sebanyak RM782.02 telah digunakan dan ditolak sebagai sebahagian bayaran cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2010 itu, meninggalkan baki yang masih terhutang dan perlu dibayar sebanyak RM2,706,021.82 bagi tahun taksiran berkenaan.

“Oleh kerana defendan gagal untuk membayar jumlah cukai sebanyak RM2,706,021.82, RM22,090,949.92, RM35,479,911.48 dan RM1,538,473.04 dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penyampaian Notis-notis Taksiran itu kepadanya (defendan), seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus masing-masing berjumlah RM270,602.18, RM2,209,094.99, RM3,547,991.14 dan RM153,847.30 telah dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2010 sehingga 2013 yang masih belum dibayar,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutannya.

Dakwa plaintif, sehingga kini defendan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang dan genap masanya dan perlu dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2010 sehingga 2013 termasuk kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atasnya, kesemuanya berjumlah RM67,996.891.87.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM67,996.891.87, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan Tan merupakan sekutu rapat Jho Low dan turut terlibat dalam transaksi berbilion ringgit dalam skandal 1MDB.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles