Sunday, July 25, 2021

‘Kudeta’ cukai minyak RM2 bilion jadikan pembangkang Sarawak dalam kemelut

Selepas berjaya mendapatkah hak di bawah MA63, GPS dilihat mampu menang besar jika pilihan raya negeri Sarawak diadakan.

Other News

Ketika seluruh negara dilanda tsunami politik yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya 2018, kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak antara yang terselamat.

Walaupun begitu, gabungan pemerintah negeri menyedari gelombang sentimen yang wujud disebabkan kekalahan mengejut BN, dan disebabkan itu ia perlu mengeluarkan saki baki yang tinggal daripada bekas sekutunya dahulu.

Sebulan selepas pilihan raya 2018, empat parti BN yang berkuasa di negeri ini memutuskan untuk keluar gabungan itu dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Perubahan itu amat diperlukan.

Negeri jiran Sabah memilih parti Warisan, yang merampas kuasa selepas menggunakan retorik untuk mengembalikan hak-hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dokumen yang membentuk persekutuan.

GPS mempersiapkan diri untuk bekerjasama dengan kerajaan PH sejak dari awal, disebabkan janji kerajaan baru untuk menambah empat kali ganda royalti minyak Sarawak.

Namun, pada 2019 selepas beberapa siri kenyataan dari Putrajaya pemberian royalti 20% kepada Sarawak sukar untuk dilaksanakan, negeri itu tidak lagi menaruh harapan.

Ia kemudian menggunakan kuasanya di bawah Ordinan Cukai Jualan negeri untuk menguatkuasakan cukai jualan sebanyak 5% terhadap syarikat minyak dan gas negara, Petronas.

Tindakan itu menambah hasil Sarawak sebanyak RM2 bilion – lebih kurang jumlah janji 20% royalti yang dimungkiri.

Kerajaan PH melalui Petronas bertindak menafikan bayaran itu hingga hilang kuasa.

Dan apabila PH memerlukan sokongan ahli Parlimen GPS semasa krisis politik 2020, kesimpulan mudah ialah sokongan tidak akan diterima daripada GPS, yang memiliki 18 ahli Dewan Rakyat dan membolehkan parti itu menjadi “kingmaker” dalam politik persekutuan.

Sebaliknya, GPS tanpa membuang masa terus menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Sokongan itu ternyata membuahkan hasil. Hanya dua bulan selepas Muhyiddin mengangkat sumpah, syarikat minyak nasional mengaku kalah dan bersetuju melunaskan hutang cukai jualan sebanyak RM2 bilion kepada Sarawak.

Ia merupakan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak, GPS dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin.

Dilema pembangkang

Penyelesaian Petronas merupakan kudeta terhadap pemimpin pembangkang yang menjadikan hak minyak Sarawak sebagai isu utama dalam setiap kempen pilihan raya mereka.

Pemerhati politik Sarawak, James Chin bersetuju, mengatakan GPS mempunyai banyak kelebihan dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (kiri) mempunyai kelebihan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri. Gambar: Bernama

Pertama, Ketua Menteri Abang Johari Openg berjaya menunjukkan kepada rakyat Sarawak kelebihan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan PN.

Perdana menteri juga mewujudkan satu portfolio khas untuk Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk MA63.

“Abang Jo boleh dikatakan berjaya selepas beliau berjaya mendapatkan Muhyiddin meminta Petronas menarik balik rayuan mereka dan membayar RM2 bilion cukai jualan minyak dan gas kepada kerajaan Sarawak,” kata Chin kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Pertama, Ketua Menteri Abang Johari Openg berjaya menunjukkan kepada rakyat Sarawak kelebihan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan PN.

Katanya, semua tanda-tanda dengan jelas memihak kepada kemenangan GPS pada pilihan raya akan datang.

Menurut Chin, Muhyiddin tidak mampu mengulangi kesilapan PH yang melengah-lengahkan untuk mengembalikan hak Sarawak di bawah MA63.

Ini menyebabkan pembangkang berada dalam dilema.

Selama bertahun-tahun, mereka menggunakan isu MA63, dan turut menyasarkan bekas ketua menteri yang dilantik gabenor Abdul Taib Mahmud, orang lama yang mempunyai pengaruh besar terhadap politik negeri untuk meraih sokongan daripada rakyat Sarawak terutamanya di kawasan bandar.

Kali ini, mereka memerlukan satu strategi baru.

Dayakisme

Chin berkata, isu yang mungkin dimainkan pembangkang adalah Dayakisme, tuntutan kedudukan politik lebih besar untuk pemimpin daripada latar belakang etnik Dayak.

Pada asasnya, ia menyasarkan untuk memberikan jawataan ketua menteri kepada orang Dayak.

Kali terakhir Sarawak dipimpin oleh orang Dayak adalah dari tahun 1966 hingga 1970, di bawah Tawi Sili.

Sejak dari itu, setiap ketua menteri yang mentadbir Sarawak sama ada daripada keturunan Melanau atau Melayu.

Dayak merangkumi lebih 40% daripada tiga juta penduduk Sarawak.

Tetapi dengan pembangkang berpecah, selain isu defisit kepercayaan, Chin mengatakan GPS boleh berdepan pilihan raya negeri dengan penuh keyakinan.

“Sebagai contoh, PSB yang diketuai Wong Soon Koh yang merupakan menteri kewangan kedua Sarawak, berjaya menarik bekas pemimpin PKR Sarawak Baru Bian. Sebahagian besar ahli dalam parti ini adalah serpihan dari parti-parti lain.

Chin mengatakan PKR Sarawak turut bercelaru.

“Ini mewujudkan perasaan dan sentimen buruk dalam kalangan parti pembangkang,” katanya.

Buat masa ini, pembangkang mungkin perlu berpuas hati dengan sokongan yang diperolehi daripada orang Cina.

Chin berkata, sentimen pro-pembangkang kaum Cina kekal utuh, sama ada kepada DAP atau PSB.

Dalam pada itu, GPS kelihatan sudah bersedia untuk ke meja rundingan dengan Putrajaya dengan kekuatan yang dimiliki.

Namun, menurut Chin menunaikan permintaan Sarawak tidaklah semudah seperti disangkakan.

Putrajaya perlu menangani situasi sukar antara memulihkan autonomi Sarawak di bawah Malaysia, dan memastikan kuasa persekutuan di Borneo tidak tergugat.

“Permintaan untuk memberikan lebih banyak autonomi untuk mengawal sumber semula jadi dan tanah wilayahnya memerlukan penyelesaian politik,” tambah Chin.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles