Saturday, July 31, 2021

Selepas setahun, masih banyak persoalan bagi guru era pandemik

Bagaimana untuk berinteraksi dengan murid melalui pembelajaran secara dalam talian adalah antara ketidaktentuan dihadapi mereka.

Other News

Setahun selepas pandemik Covid-19 melanda Malaysia, cara berbeza pengajaran dan pembelajaran memaksa kaedah tradisional dalam sektor pendidikan ditinggalkan, menyebabkan ramai guru masih dibelenggu persoalan berhubung peranan mereka dalam norma baru, begitu juga dengan murid.

Selepas turun naik tahun 2020, guru dan murid pada semua peringkat kembali ke bilik darjah, tetapi kebanyakannya melalui kelas maya dan interaksi dengan yang lain bergantung kepada kamera web dan mikrofon.

Akan tetapi, menggendalikan kelas secara dalam talian adalah berbeza dengan cara tradisional.

Chew Mei Yee daripada badan bukan kerajaan (NGO) Teach for Malaysia (TFM) berkata, apabila keluar berita tentang kelas secara bersemuka tidak akan diadakan, persoalan yang timbul bagi ramai pihak ialah bagaimana pembelajaran dari rumah akan dilakukan.

Walaupun kementerian pendidikan mengeluarkan panduan berhubung perkara itu, sesetengah guru masih bimbang tentang jadual dan apa yang diharapkan daripada mereka.

Sekurang-kurangnya, sesetengah daripada kebimbangan ini mempunyai justifikasi.

“Kita mempunyai 90 guru yang mengajar tahun lepas,” kata Chew dari TFM, NGO yang bercita-cita untuk menghapuskan ketidaksamaan dalam pendidikan.

Melalui program felow TFM, mereka yang berbakat akan digajikan menjadi guru sepenuh masa selama dua tahun sebelum meneruskannya dalam jangkamasa panjang di sekolah yang memerlukan di seluruh negara.

“Walaupun memberikan inisiatif terbaik dan kreatif serta berusaha keras untuk berinteraksi dengan murid, realitinya lebih kurang 30% murid sahaja yang berinteraksi dalam pembelajaran.

“Ini adalah persoalan besar,” katanya kepada MalaysiaNow. “Bagaimana sebenarnya untuk berinteraksi dengan semua murid?”

“Setiap sekolah mempunyai konteks yang berbeza,” kata Chew.

Tetapi murid juga mempunyai persoalan.

“Terdapat banyak cakap-cakap terutamanya dalam kalangan murid Tingkatan 5, terasa seperti hilang arah dan tujuan. Akhirnya, apa yang sebenarnya mereka belajar?” soal Chew.

“Buat pertama kali mereka mempunyai terlalu banyak masa. Disebabkan itu, bagaimana mereka menguruskan masa, terutamanya apabila guru yang berbeza mempunyai jangkaan dan pendekatan yang berbeza?”

Ini menyebabkan murid juga berdepan dengan situasi mencabar, katanya.

Semuanya berbeza

Walaupun kementerian pendidikan mengeluarkan panduan umum, sukar untuk guru melaksanakannya.

“Setiap sekolah mempunyai konteks yang berbeza,” kata Chew.

Selain itu, ibu bapa turut berada dalam kekeliruan terutamanya yang mempunyai lebih daripada seorang anak dan mencuba melakukannya tanpa garis panduan yang boleh disesuaikan, tambahnya.

Cadangannya?

“Saya rasa kita perlu adakan dialog setempat antara sekolah, guru dan murid tentang cara terbaik untuk pembelajaran yang berkesan.”

Salah satu cara melakukannya ialah kembali ke cara mengajar tradisional menggunakan pen, kertas dan surat melalui pendekatan surat-menyurat antara guru dan murid.

Akan tetapi Chew berkata soalan perlu ditanya tentang apakah peperiksaan seperti SPM yang masih dilaksanakan merupakan pendekatan terbaik.

“Apakah kaedah yang boleh mengubah cara kita berfikir tentang pembelajaran dan struktur lama?”

Baginya, adalah penting untuk melihat pihak lain sebagai rakan kongsi dan mengenepikan segala perbezaan.

“Murid adalah pihak berkepentingan utama. Kita perlu melihat mereka sebagai kunci bagi memahami bagaimana untuk sentiasa memperbaiki situasi pembelajaran seperti ini,” katanya.

“Akhirnya kita mahukan perkara sama – supaya murid mencuba dan meneruskan pembelajaran secara holistik. Kita perlu maju ke depan bersama.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles