- Iklan -
Berita

Seniman gesa kerajaan percepat SOP industri kreatif

Ramai ahli seniman terkesan dan hilang punca pendapatan selepas PKP 2.0 dikuatkuasakan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Mohd Hafiz Mohd Nafiah. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Mohd Hafiz Mohd Nafiah. Gambar: Bernama

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengesa supaya kerajaan menyegerakan penyediaan prosedur operasi standard (SOP) bagi industri kreatif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dikuatkuasakan.

Seniman berkata walaupun akur dan patuh dengan arahan kerajaan, ramai warga kerja industri kreatif kini terkesan selepas pelaksanaan PKP 2.0 dilaksanakan sehingga mereka hilang punca pendapatan.

Setiausaha Agung Seniman Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata sejak PKP dikuatkuasakan industri kreatif negara tidak dibenarkan menjalankan sebarang penggambaran.

“Bila tiada penggambaran, maka tiada pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup, dan kami juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak serta hutang yang perlu dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, SOP itu juga penting kerana pihak penerbit juga terikat dengan kontrak bersama dengan stesen televisyen yang mempunyai tarikh akhir untuk menyiapkan sesebuah karya.

“Seniman sangat bimbang dan risau dengan ahli-ahli kami yang semakin terhimpit akibat pandemik Covid-19 disebabkan tiada tawaran kerja yang menyebabkan keadaan kehidupan mereka semakin tertekan,” katanya.

Hafiz menegaskan industri kreatif negara juga merupakan sektor penting sama seperti pengilangan dan pembinaan.

“Jika mereka dibenarkan untuk terus beroperasi, mengapa industri kreatif tidak boleh,” soalnya dan mengatakan pihaknya bersedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Selasa lalu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid menghantar kertas cadangan SOP penggambaran dalam studio kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Difahamkan MKN sehingga kini masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai kertas cadangan itu.

Sehubungan itu Seniman mendesak kerajaan mengeluarkan garis panduan dan SOP kepada warga industri kreatif secepat mungkin untuk bagi meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup ahli-ahlinya.