- Iklan -
Berita

Kes baru Covid-19 kembali turun bawah angka 4,000, 19 lagi kematian dilaporkan

3,392 pesakit pulih dan dibenarkan pulang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita melihat gubahan bunga yang dipamerkan di sebuah kedai menjual bunga di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur. Perniagaan bunga antara yang terkesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Seorang wanita melihat gubahan bunga yang dipamerkan di sebuah kedai menjual bunga di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur. Perniagaan bunga antara yang terkesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sebanyak 3,391 kes baru Covid-19 dikesan hari ini, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 234,864, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 3,392 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 185,278 kes.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,228 kes diikuti Johor 598 dan Kuala Lumpur 395 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 48,751.

“Daripada jumlah itu 310 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 134 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat 19 lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 845 orang.

“Kuala Lumpur merekodkan tujuh kematian, diikuti Sabah (5), Sarawak (3), Selangor (3) dan Perak (1),” katanya.

Katanya terdapat 15 lagi kluster baru dikesan membabitkan:

  1. Kluster Jalan Mokhtar di Selangor (tempat kerja).
  2. Kluster Jalan Enam Belas di Selangor (tempat kerja).
  3. Kluster Bandar Teknologi di Selangor (tempat kerja).
  4. Kluster Persiaran Jaya di Selangor (tempat kerja).
  5. Kluster Jalan Lima di Selangor (tempat kerja).
  6. Kluster Jalan Rumbia Dua di Johor (tempat kerja).
  7. Kluster Sri Sengkang di Johor (tempat kerja).
  8. Kluster Jun Heng di Sarawak (tempat kerja).
  9. Kluster Tapak Bina Jalan Valdor di Pulau Pinang (tempat kerja).
  10. Kluster Industri TTJ di Negeri Sembilan (tempat kerja).
  11. Kluster Santong Paka di Terengganu (tempat kerja).
  12. Kluster Industri Bentong Sebelas di Pahang (tempat kerja).
  13. Kluster Hikmah Muadzam di Pahang (komuniti).
  14. Kluster Taman Murni di Pahang   (komuniti).
  15. Kluster Jalan Jubilee di Kuala Lumpur (kumpulan berisiko tinggi).