- Iklan -
Berita

Malaysia catat kedudukan tinggi dalam indeks demokrasi global, naik 4 anak tangga

Walaupun menghadapi krisis politik pada 2020, Malaysia menunjukkan prestasi terbaik dalam proses pilihan raya dan pluralisme.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Skor Malaysia meningkat sedikit kepada 7.19 tahun lepas berbanding 7.16 pada 2019. Gambar: Bernama
Skor Malaysia meningkat sedikit kepada 7.19 tahun lepas berbanding 7.16 pada 2019. Gambar: Bernama

Kedudukan demokrasi Malaysia pada 2020 naik empat anak tangga dalam senarai 167 negara, daripada kedudukan 43 pada 2019, menurut indeks global terkini mengenai demokrasi yang jalankan The Economist.

Menurut laporan itu, skor Malaysia meningkat sedikit kepada 7.19 tahun lepas berbanding 7.16 pada 2019, tahun di mana negara mencatatkan prestasi terbaik.

Tinjauan terbaru itu mengakui krisis politik pada Februari tahun lepas dan diikuti dengan perubahan kerajaan, mengatakan kestabilan politik “merosot sejak peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada bulan Mac 2020”.

“Bagaimanapun, peningkatan dalam proses pilihan raya dan pluralisme menyebabkan institusi politik negara yang lebih demokratik,” kata laporan itu.

Dalam kalangan negara-negara Asia, yang turut dianggotai Australia dan New Zealand, tinjauan Economist meletakkan Malaysia di tangga keenam, di belakang Zealand, Australia, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.

Sama seperti sebelum ini, indeks itu mengklasifikasikan sesebuah negara melalui empat kategori: demokrasi penuh, demokrasi pincang, rejim campuran, dan rejim autokrasi.

Malaysia tergolong antara 52 dalam kategori “demokrasi pincang”, bersama-sama negara demokrasi utama dunia seperti Amerika Syarikat dan Perancis.

Tetapi Malaysia berada di kedudukan teratas dalam kalangan negara-negara Asia yang dilabel sebagai “demokrasi pincang”, malah memperoleh skor lebih baik dari Jepun dan Korea Selatan – dua negara yang kini dikategori “demokrasi penuh” – dari segi proses pilihan raya dan pluralisme.

Bagi negara jiran Singapura dan Indonesia, masing-masing berada di kedudukan ke-15 dan 11 di Asia. Di peringkat global, Singapura menduduki tangga ke-74 manakala Indonesia lebih 10 anak tangga.

Sementara itu, China, Laos dan Korea Utara dilabel sebagai negara terburuk di rantau ini dalam soal amalan demokrasi.

Laporan itu mengatakan 2020 menjadi tahun terburuk dalam skor global sejak indeks itu diperkenalkan pertama kali pada 2006, dan menambah sekatan terhadap kebebasan individu kerana langkah-langkah mengawal Covid-19 turut memainkan peranan.

“Keputusan tahun 2020 menunjukkan kemerosotan yang signifikan dan berlaku disebabkan – tapi bukan semata-mata – kerana sekatan yang dikenakan oleh kerajaan terhadap kebebasan individu dan sivil yang terjadi di seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap pandemik Covid-19,” katanya.

Didapati kira-kira separuh (49.4%) daripada populasi dunia “hidup macam dalam keadan demokrasi”, manakala 8.4% tinggal dalam “demokrasi penuh”, meningkat 5.7% pada 2019 kerana tambah baik dalam kalangan negara-negara Asia.

Di kedudukan teratas dalam senarai itu adalah Norway, diikuti Iceland, Sweden, New Zealand dan Kanada. United Kingdom berada di kedudukan ke-16, manakala AS di tangga ke-25.

India menurun, Taiwan meningkat

Dalam kalangan negara-negara Asia yang terus merosot dalam skor amalan demokrasi adalah India – yang dipuji sebagai negara demokrasi terbesar di dunia – menduduki tangga ke-53 pada 2020 berbanding 27 enam tahun sebelum itu.

Ia dikatakan berkait rapat dengan dasar di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi, yang dipilih semula bagi penggal kedua pada 2019.

“Berlaku peningkatan pengaruh agama di bawah pemerintahan Modi, yang dasarnya meningkatkan perasaan anti-Islam dan persengketaan agama, telah merosakkan struktur politik negara ini,” katanya, dengan merujuk kepada kemarahan terhadap pindaan undang-undang kerakyatannya yang dilihat langkah bagi menambah populasi penganut Hindu.

Negara yang meningkat dengan mendadak dalam kalangan negara-negara Asia adalah Taiwan, naik 20 anak tangga ke kedudukan ke-11 dunia.

Indeks Economist, yang bertajuk “In sickness and in health?”, mengatakan kejayaan Taiwan menangani pandemik Covid-19, dan memuji “tindakan hebat” Presiden Tsai Ing-wen.

“Taiwan berjaya elak daripada melakukan perintah kawalan pergerakan dan sekatan pergerakan dalaman. Sebaliknya penduduk Taiwan menunjukkaan kesediaan dalam memberi kerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan secara sukarela mematuhi perintah kuarantin dan penjarakan sosial, termasuk syarat ketat kesan dan jejak yang diwajibkan,” tambahnya.

Tinjauan ini meletakkan lima kriteria bagi menentukan skor kedudukan negara-negara iaitu: proses pilihan raya dan plularisme, fungsi kerajaan, penyertaan politik, budaya politik dan kebebasan sivil.

Kesemua negara turut diukur menerusi pilihan raya umum, keselamatan pengundi, pengaruh kuasa asing terhadap kerajaan dan keupayaan perkhidmatan awam untuk melaksanakan dasar.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.