- Iklan -
Berita

Tommy Thomas cerita bagaimana cuba penuhi permintaan India jadikan Zakir Naik tiada kewarganegaraan

Thomas mengatakan Naik dianggap sebagai wira dalam kalangan orang Islam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pesuruhjaya tinggi India ke Malaysia Mridul Kumar dan bekas peguam negara, Tommy Thomas.
Pesuruhjaya tinggi India ke Malaysia Mridul Kumar dan bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Bekas peguam negara, Tommy Thomas mengatakan berusaha keras dengan meminta pihak berkuasa negara ini mengusir Dr Zakir Naik selepas menerima permintaan daripada wakil negara India untuk memastikan pendakwah bebas itu tiada kewarganegaraan.

Perkara tersebut didedahkan menerusi buku terbaru Tommy bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, dengan mendedahkan pertemuannya bersama pesuruhjaya tinggi India ke Malaysia, yang memberitahu beliau bahawa New Delhi tidak berminat Naik dihantar pulang ke India kerana publisiti yang bakal diterima akan menyokong pendakwah bebas itu.

“Sebaliknya, pemerintah India mengehendaki Malaysia mengusirnya dari negara ini. Ke mana Zakir pergi selepas itu bukan masalah Malaysia, dan India akan gembira jika masalah membabitkan hubungan dua hala itu hilang,” tulis Thomas.

Mridul Kumar menjadi pesuruhjaya tinggi India ke Malaysia sejak Februari 2018.

Thomas mengatakan selepas mengadakan perbincangan, beliau kemudian bertindak menyakinkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad untuk mengusir Naik tanpa perlu mengaitkan dengan negara ketiga.

Namun, katanya Mahathir bimbang Naik dibiarkan tanpa negara, dan Thomas mengatakan ia bukan perkara yang perlu dibimbangkan.

“Saranan saya agar Zakir diusir dari Malaysia, dan itu terpulang kepadanya untuk pergi mana sahaja selain India, tetapi ia tidak diterima oleh perdana menteri,” kata Thomas, dan menambah Mahathir mengatakan akan menguruskan perkara itu sendiri.

Pemerintah India menuduh Naik terlibat dengan pengubahan wang haram dan memperoleh aset daripada kegiatan jenayah, termasuk menyebarkan pengaruh negatif dan keganasan, tetapi dakwaan itu dinafikan pendakwah bebas itu.

Naik, yang memiliki status penduduk tetap diberikan oleh pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, menyatakan kesediaan untuk menghadapi pertuduhan di India dan sebagai balasan diberi jaminan tidak akan dipenjarakan sebelum didapati bersalah.

Pada Ogos 2019, Mahathir menolak permintaan beberapa kumpulan di negara ini untuk menghantar pulang Naik, dengan mengatakan kerajaan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan pendakwah bebas itu.

Thomas di dalam bukunya menggelar Naik sebagai “jahat” dan mencadangkan Naik diekstradisi bagi dibicarakan di India “berkemungkinan menyalakan sentimen perkauman orang Melayu”.

Thomas mengatakan Naik dianggap sebagai wira dalam kalangan orang Islam seperti sambutan yang diterimanya di Kelantan.

“Zakir mampu bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Namun, dia memiliki ramai pengikut dalam kalangan orang Islam yang tidak fasih berbahasa Inggeris,” tulisnya.