Sunday, July 25, 2021

PH sudah hilang majoriti ketika Dr M letak jawatan, peguam jawab Tommy Thomas

Ahli Parlimen Bersatu dan sebahagian daripada ahli Parlimen PKR keluar parti adalah punca mengapa Kabinet Pakatan Harapan (PH) tidak lagi boleh berfungsi.

Other News

Hilang sokongan majoriti disebabkan ahli Parlimen Bersatu dan sebahagian daripada ahli Parlimen PKR keluar parti adalah punca mengapa Kabinet Pakatan Harapan (PH) tidak lagi boleh berfungsi, kata seorang peguam menjawab tulisan bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata disebabkan itu, Dr Mahathir Mohamad perlu meletakkan jawatan dan Kabinetnya turut terbubar.

“Dr Mahathir kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat susulan keputusan ahli-ahli Parlimen Bersatu dan sebahagian ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (blok Mohamed Azmin Ali) untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

“Maka dari segi keperlembagaannya, Dr Mahathir tidak lagi boleh memegang jawatan perdana menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan di mana beliau mesti meletak jawatan, melainkan di atas permintaannya Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, perkara ini juga dizahirkan semasa sesi temu duga kesemua 222 ahli Parlimen dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di mana Mahathir hanya mendapat lebih kurang 60 sokongan sahaja.

“Ia sudah terang tanpa perlu lagi bersuluh. Menunjukkan bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, pada ketika peletakan jawatannya.”

Dalam buku autobiografinya My Story: Justice in the Wilderness, Thomas berkata, selepas Mahathir meletakkan jawatan pada hujung Februari tahun lalu, Kabinet masih boleh menjalankan fungsinya dan tidak terbubar.

Thomas berkata, ini kerana perdana menteri meletak jawatan atas kehendaknya sendiri.

Rafique berkata, sekiranya PH masih mempunyai majoriti ketika Mahathir meletakkan jawatan, ia tidak relevan kepada kedudukan Kabinet seperti yang dinyatakan dalam Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Pokok pangkalnya, ‘peletakan jawatan perdana menteri maka secara automaktiknya seluruh jemaah menteri akan terbubar’, tidak kiralah sama ada peletakan jawatan tersebut dilakukan atas sebab kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya dan/atau sama ada di atas kehendak diri sendiri atau sebaliknya,” katanya.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles