- Iklan -
Berita

Pakar sokong pekerja asing diberikan suntikan vaksin Covid-19

Pakar perubatan menggesa kerajaan menyenaraikan pekerja asing sebagai kategori berisiko tinggi kerana melindungi mereka seperti melindungi diri.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Pakar menggesa supaya pekerja warga asing turut tidak dikecualikan diberi suntikan vaksin Covid-19 di negara ini.
Pakar menggesa supaya pekerja warga asing turut tidak dikecualikan diberi suntikan vaksin Covid-19 di negara ini.

Pakar perubatan menyuarakan sokongan agar pekerja asing di negara ini diberikan suntikan vaksin Covid-19 bagi mengawal penyebaran virus terbabit yang kini menjangkiti lebih 200,000 orang dan meragut 770 nyawa.

Mereka juga menggesa kerajaan memberikan keutamaan kepada golongan migran dalam Pelan Vaksinasi Kebangsaan memandangkan kebanyakan daripada mereka tidak peka terhadap keadaan persekitaran sehingga menjadi golongan mudah terjangkiti.

“Suntikan vaksin kepada pekerja asing perlu diberi keutamaan kerana mereka merupakan populasi berisiko tinggi dijangkiti virus Covid-19 memandangkan menghuni secara beramai-ramai dalam satu kediaman,” kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy kepada MalaysiaNow.

Kenyataan ini dikeluarkan ketika aktivis migran menuntut kerajaan mengambil kira golongan pekerja asing sama ada memiliki dokumentasi atau tidak untuk diberikan suntikan vaksin memandangkan kes yang tinggi dicatatkan dalam kalangan mereka.

Pelan Vaksinasi Kebangsaan yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan ini menyasarkan 70% imuniti kelompok melibatkan 23 juta rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada petugas kesihatan barisan hadapan.

Seterusnya suntikan akan diberikan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas berusia 60 tahun dan individu yang mempunyai penyakit kronik.

Fasa ketiga akan meliputi semua warga awam berusia 18 tahun dan ke atas.

Pakar perubatan yang bercakap kepada MalaysiaNow berkata, golongan migran seharusnya tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi disebabkan keadaan tempat tinggal mereka yang sesak sehingga menyebabkan kesukaran untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Azrul Mohd Khalib, ketua pegawai eksekutif Pusat Galen untuk Kesihatan dan Polisi Sosial menyarankan kerajaan menangani isu ini dari perspektif kesihatan awam memandangkan kes meningkat tinggi secara konsisten.

“Ini merupakan kecemasan dalam kesihatan awam,” tambahnya.

“Kita harus melihat ini sebagai satu pelaburan kepada objektif kesihatan secara keseluruhan dalam menguruskan penularan penyakit ini di Malaysia”.

Dianggarkan seramai dua juta pekerja asing berdaftar dalam negara hingga Jun 2019. Tiga juta lagi tidak berdaftar menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak lima juta orang.

Menurut perkiraan kementerian kesihatan, kos suntikan Covid-19 untuk seorang berharga RM77.35. Ini bermaksud jumlah keseluruhan untuk suntikan lima juta orang pekerja asing dianggarkan berjumlah RM386.75 juta.

Pakar bagaimanapun masih tidak sepakat berkaitan dengan siapa yang akan menanggung kos tersebut.

Subramaniam berkata, kos tersebut seharusnya ditanggung majikan yang bertanggungjawab terhadap kesihatan pekerja mereka.

Bagaimanapun, Dr Raj Kumar Maharajah, presiden Persatuan Pengamal Perubatan Malaysia tidak bersetuju dengan pendapat tersebut.

“Sekarang ini bukan masa untuk kedekut,” katanya dan menambah Covid-19 tidak mengenal mangsa.

Beliau berkata, pihak kedutaan seharusnya mengambil tanggungjawab terhadap rakyat mereka di Malaysia.

“Pihak kedutaan seharusnya memberikan subsidi terhadap kos suntikan kepada pekerja asing ini,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan boleh menjalankan pelan pemvaksinan kepada pekerja asing sekiranya dana mencukupi.

Bekas timbalan ketua pengarah kesihatan, Dr Christopher Lee mencadangkan tanggungjawab bersama antara kerajaan, pekerja dan majikan.

“Secara prinsipnya, memberikan vaksin kepada seramai mungkin orang di negara ini adalah lebih baik tidak kira sama ada mereka warganegara atau tidak,” katanya.

“Bagi mengawal keadaan pandemik di negara ini, memberi suntikan kepada pekerja asing merupakan salah satu strategi untuk memastikan kita dapat membuka sektor perniagaan disebabkan mereka merupakan tenaga pekerja terbesar.”

Azrul turut berkata, kos suntikan vaksin lebih menjimatkan berbanding menampung belanja rawatan pesakit.

“Sekarang ini bukan masa untuk kedekut,” katanya dan menambah Covid-19 tidak mengenal mangsa.

“Virus tidak mengenal sama ada anda mempunyai kad pengenalan, passport atau tidak mempunyai dokumen, tetapi disebabkan komuniti migran hidup dan bekerja dalam kalangan kita, melindungi mereka bermakna melindungi yang lain-lain juga”.