- Iklan -
Berita

Malaysia perlu dapatkan lampu hijau EU sebelum vaksin Pfizer boleh dihantar

Hanya vaksin yang dibeli melalui Covax akan dikecualikan daripada sekatan eksport.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia memulakan program vaksinasi kebangsaan bermula Februari 2021 menyasarkan imuniti kelompok pada tahun depan. Gambar: AFP
Malaysia memulakan program vaksinasi kebangsaan bermula Februari 2021 menyasarkan imuniti kelompok pada tahun depan. Gambar: AFP

Malaysia perlu mendapatkan lampu hijau Kesatuan Eropah (EU) sebelum sebarang vaksin Covid-19 dijadualkan untuk dihantar hujung March ini, kata dutanya ke Malaysia, selepas kawalan baru eksport vaksin yang dibuat di blok itu untuk mengatasi kekurangannya di negara anggota.

Michalis Rokas, duta delegasi EU ke Malaysia berkata, hanya vaksin yang dibeli melalui skim Covax, yang Malaysia merupakan sebahagian daripadanya, akan dikecualikan daripada sekatan eksport.

“Hanya vaksin yang dibeli di luar skim Covax daripada pengeluar di EU yang perlu dihantar sebelum akhir Mac 2021 memerlukan kebenaran eksport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah ini bermaksud vaksin Pfizer yang dibeli Malaysia perlu mendapatkan lampu hijau daripada EU sebelum ia boleh dihantar.

Malaysia sepatutnya mendapatkan kumpulan pertama vaksin Pfizer untuk program pemvaksinan secara besar-besaran akhir bulan ini.

“Ini bukanlah sekatan eksport, tetapi mekanisme untuk ketelusan tentang di mana vaksin dibuat syarikat yang mempunyai perjanjian dengan EU akan dihantar,” kata kenyataan itu.

Katanya, ketelusan dijamin dalam proses memberikan kebenaran dan menambah “ia akan dilakukan dengan segera bagi mengelakkan kelewatan.”

“Secara khususnya, eksport ke negara ketiga, termasuk Malaysia di bawah perjanjian Advance Purchase Agreements (APAs) akan dipelihara sebaik mungkin.

“EU sedar tentang Advanced Purchase Authorisations dengan Malaysia dan akan berusaha memastikan apa yang diharapkan Malaysia berhubung tarikh penerimaan akan dipenuhi,” kata Rokas.

Malaysia sepatutnya mendapatkan kumpulan pertama vaksin Pfizer untuk program pemvaksinan secara besar-besaran akhir bulan ini.

Langkah terbaru EU itu akan menyaksikan 27 negara anggotanya diutamakan untuk mendapatkan vaksin, di sebalik kritikan berhubung kelewatan pemvaksinannya.

EU menyalahkan kelewatan untuk menghantar vaksin itu kepada syarikat farmaseutikal dari UK-Sweden, AstraZeneca.

Syarikat itu bagaimanapun menyalahkan gangguan pengeluarannya di kilang-kilang di Belanda dan Belgium.

Malaysia antara 190 buah negara yang m menandatangani perjanjian dengan Covax yang turut disokong antara lain oleh Pakatan Vaksin Global (Gavi) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

EU sebelum ini berkata sekatan eksport dikecualikan kepada 92 negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain Pfizer, Malaysia turut membeli daripada AstraZeneca.

19.2 juta dos daripada kedua-dua syarikat itu, merangkumi 30% populasi penduduk negara.

Mereka merupakan antara lima pengeluar vaksin yang membekalkan Malaysia vaksin dengan nilai pembelian melebihi RM2 bilion.

Tiga vaksin lain yang dipesan adalah daripada syarikat Sinovac dan CanSino (China) dan Gamaleya (Rusia), melibatkan 23.9 juta dos.