- Iklan -
Berita

Hamzah nafi tolak pendaftaran Pejuang, Muda

Pendaftaran Pejuang dan Muda ditolak kerana perlembagaan parti yang dikemukakan gagal mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama slip permohonan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 17 September tahun lepas. Gambar: Bernama
Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama slip permohonan pendaftaran parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 17 September tahun lepas. Gambar: Bernama

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak, bagaimanapun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum berbuat demikian.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata permohonan pendaftaran Pejuang dan Muda ditolak pada 6 Januari lepas berdasarkan peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan kedua-duanya boleh mengemukakan rayuan kepada menteri dalam negeri dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan.

Kesal dengan dakwaan bahawa beliau yang tidak meluluskan pendaftaran Pejuang dan Muda, Hamzah menjelaskan permohonan pendaftaran itu ditolak kerana perlembagaan parti yang dikemukakan gagal mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta 335 itu, dengan intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti tersebut antaranya didapati tidak teratur dan tidak spesifik.

“Bukan saya yang tolak (permohonan penubuhan) tetapi RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan),” katanya pada sidang media di sini hari ini bagi memperjelaskan status pendaftaran Pejuang dan Muda.

Berikutan itu, Hamzah berkata jawatankuasa penaja Pejuang telah mengadakan perbincangan bersama RoS pada 8 Januari lepas bagi mendapatkan pandangan dan mengemukakan permohonan rayuan pada hari yang sama.

Jawatankuasa penaja Muda pula sehingga hari ini masih tidak berjumpa dengan pihak RoS bagi tujuan konsultansi dan belum mengemukakan permohonan rayuan secara rasmi kepada menteri dalam negeri, katanya.