- Iklan -
Berita

Bekas speaker pertahan tindakan ketika krisis politik 2020 selepas dikritik Tommy Thomas

Bekas hakim menjelaskan secara terperinci mengapa beliau menolak persidangan Dewan Rakyat dan membenarkan Agong memilih perdana menteri baru.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof. Gambar AP
Bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof. Gambar AP

Bekas hakim yang pernah berkhidmat sebagai speaker Dewan Rakyat di era kerajaan sebelum ini tampil mempertahankan keputusan untuk tidak memanggil persidangan khas Parlimen ketika kemuncak krisis politik tahun lepas, selepas menerima kritikan daripada bekas peguam negara, Tommy Thomas dalam autobiografi terbarunya.

Mohamad Ariff Md Yusof mengatakan beliau tidak bersetuju dengan hujah dikemukakan Thomas bahawa keputusan untuk menolak permintaan Dr Mahathir Mohamad bagi mengadakan undi percaya supaya ahli Parlimen boleh memilih perdana menteri baru pada Februari tahun lepas menjadi punca jawatan tertinggi itu terpaksa ditentukan di luar kuasa Parlimen.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan itu mengatakan pendirian Thomas tidak tepat kerana perkara-perkara melibatkan Perlembagaan perlu ditafsir berdasarkan konteks bukan fakta semasa.

“Saya menjelaskan dalam konteks umum, dan juga secara umum, dalam bab terakhir di dalam buku saya,” katanya kepada MalaysiaNow, dan menambah beliau tidak mahu terlibat dalam sebarang “polemik”.

Beliau merujuk kepada buku Law, Principles and Practice in the Dewan Rakyat of Malaysia”, di mana dia secara khusus menangani krisis politik tahun lepas yang menyaksikan Mahathir melepaskan jawatan sebagai perdana menteri, menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusia 22 bulan tumbang.

Thomas, dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”, bertindak mempersoal tindakan Ariff untuk tidak mengadakan undi percaya bagi membolehkan ahli Parlimen memilih perdana menteri baru.

Katanya, ia membolehkan Yang di-Pertuan Agong untuk memilih Muhyiddin Yassin bagi memegang jawatan tertinggi itu, selepas yakin presiden Bersatu mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen selepas menemu duga 222 ahli Dewan Rakyat pada Februari 2020.

Thomas mengatakan keputusan Ariff didorong oleh “alasan teknikal semata-mata”, dan menambah tiada sebarang perubahan dalam Peraturan Majlis Mesyuarat bagi memanggil sidang Parlimen.

“Ia bukan hak speaker untuk menggunakan kuasa veto,” katanya.

“Pada pandangan saya, speaker Ariff Yusof silap kerana menolak surat daripada perdana menteri. Tentu, Ariff lebih mengetahui mengenai permintaan itu dan masa yang dilalui kita ketika itu,” kata Thomas, yang meletak jawatan selepas empat hari kerajaan PH tumbang.

Thomas kemudian mengatakan keabsahan perdana menteri pasti tidak akan dicabar jika dia dilantik melalui Parlimen.

“Bagi seorang pakar dan pengamal Perlembagaan, Ariff tidak boleh berpura-pura tidak tahu. Namun, beliau tetap tidak memanggil sidang Dewan Rakyat.

“Keputusan yang dibuatnya, peranan Parlimen ditolak ketika itu apabila perdana menteri dipilih oleh Agong.”

Ariff: Tanggungjawab saya untuk tidak memihak

Namun, di dalam bukunya, Ariff mengatakan “salah dari segi Perlembagaan” untuk mencadangkan Dewan Rakyat yang mengamalkan sistem Westminster diberi bidang kuasa untuk menentukan siapa harus menjadi perdana menteri.

“Ia hak prerogatif Ketua Negara bagi melantik perdana menteri yang merupakan ahli badan perundangan yang dipilih, dalam pertimbangan Ketua Negara, adalah seorang ahli yang mendapat kepercayaan majoriti badan perundangan,” tulis Ariff di dalam bukunya.

Beliau mengatakan pemilihan perdana menteri melalui Parlimen adalah mudah dalam keadaan biasa: dengan menamakan pemimpin parti yang mendapat majoriti.

“Perkara itu menjadi sukar apabila pilihan raya umum gagal menentukan majoriti jelas parti atau apabila perdana menteri meletak jawatan antara pilihan raya umum atau dalam kes Malaysia, apabila berlaku lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan ke pembangkang dan penjajaran semula politik mungkin tidak dapat menghasilkan kerajaan yang memiliki majoriti jelas,” tambah Ariff.

“Dalam senario ini, tidak wujud sebarang keraguaan bahawa pelantikan perdana menteri di tangan Ketua Negara, bukan badan perundangan.”

Ariff turut mempertahan tindakannya untuk tidak memanggil sidang Parlimen.

“Ia menggambarkan fungsi dan kuasa speaker sebagai wakil Dewan yang tidak memihak kepada sesiapa yang dipertanggungjawab bagi memastikan Peraturan Mesyuarat dilaksanakan.”

Fazreen Kamal menyumbang kepada laporan ini.