- Iklan -
Berita

Tentera Myanmar tahan Aung San Suu Kyi

Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin kanan tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi. Gambar: AFP
Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi. Gambar: AFP

Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi ditahan tentera Myanmar, kata jurucakap parti itu pagi tadi.

“Kita mendengar Presiden (Win Myint) dan Kaunselor Negara (Aung San Suu Kyi) sudah ditahan di Naypyidaw… kami juga mendengar mereka ditahan oleh tentera,” kata jurucakap NLD, Myo Nyunt.

“Kita beranggapan tentera sedang merancang untuk merampas kuasa, berdasarkan situasi semasa dan apa yang kami perhatikan ketika ini,” katanya.

Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin kanan tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan negara itu, sekali gus menangani krisis politik.

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Myanmar yang baru sedekad keluar daripada pemerintahan tentera hampir 50 tahun, masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera walaupun pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan pentadbiran dipilih rakyat.

Wakil rakyat baru dijangka bersidang di Parlimen hari ini.

Pilihan raya pada November lalu adalah pilihan raya demokratik yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator selama 49 tahun.

Seperti diharapkan, Suu Kyi, tokoh sangat dikenali di Myanmar dan partinya menyapu bersih pilihan raya, sekali gus meneruskan pentadbiran mereka selama lima tahun lagi.

Bagaimanapun, tentera mendakwa terdapat 10 juta kes penipuan pemilih di seluruh negara dan mahu siasatan diadakan serta menuntut pelepasan daftar pemilih dari suruhanjaya pilihan raya bagi tujuan pengesahan.