- Iklan -
Berita

Tentera Myanmar isytihar darurat selama setahun

Langkah ini diperlukan untuk menjaga kestabilan Myanmar, kata tentera.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki melintas jalan berhampiran dengan Sule Pagoda di Yangon, Myanmar pada 1 Februari. Gambar: AFP
Seorang lelaki melintas jalan berhampiran dengan Sule Pagoda di Yangon, Myanmar pada 1 Februari. Gambar: AFP

Tentera Myanmar hari ini, mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tentera Jeneral Ming Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Ia diumumkan selepas tentera menahan Kaunselor Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar U Win Myin dan pegawai kanan lain pagi tadi.

Pengumuman di siaran milik tentera, TV Myawaddy, menjelaskan langkah itu perlu bagi menjaga “kestabilan” negara, selain mendakwa suruhanjaya pilihan raya negara itu gagal menangani “penyelewengan besar” dalam pilihan raya, pada November lalu.

Pengisytiharan ditandatangani Naib Presiden Pertama U Myint Swe, yang bertugas sebagai pemangku presiden, seperti diumumkan di TV Myawady.

Kenyataan itu juga berkata, kuasa negara akan diserahkan kepada Aung Hlaing.

Suu Kyi, U Win Myint dan beberapa pegawai kanan lain parti pemerintah, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) ditahan tentera, awal pagi tadi.

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah, NLD pimpinan Suu Kyi menang besar.

Myanmar yang baru sedekad keluar selepas hampir 50 tahun diperintah tentera, masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera walaupun pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan pentadbiran dipilih rakyat.

Wakil rakyat baru dijangka bersidang di Parlimen hari ini.

Pemilihan pada November lalu adalah pilihan raya demokratik yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator 49 tahun.

Seperti diharapkan, Suu Kyi, tokoh sangat dikenali di Myanmar dan partinya menyapu bersih pilihan raya, sekali gus meneruskan pentadbiran mereka selama lima tahun lagi.

Bagaimanapun, tentera mendakwa terdapat 10 juta kes penipuan pemilih di seluruh negara dan mahu siasatan diadakan serta menuntut pelepasan daftar pemilih dari suruhanjaya pilihan raya bagi tujuan pengesahan.