- Iklan -
Berita

PBB kutuk rampasan kuasa tentera Myanmar

Pergolakan politik terbaru itu adalah satu tamparan kepada reformasi politik di Myanmar.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan aktivis Myanmar mengadakan bantahan di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membantah penahanan Aung San Suu Kyi. Gambar: AFP
Sekumpulan aktivis Myanmar mengadakan bantahan di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membantah penahanan Aung San Suu Kyi. Gambar: AFP

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa serta menahan pemimpin negara itu, pagi tadi.

“Setiausaha agung mengutuk sekeras-kerasnya penahanan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar (U Win Myint) dan pemimpin politik lain ketika Parlimen negara itu sepatutnya bersidang hari ini,” kata Jurucakap PBB, Stephane Dujarricnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pergolakan politik terbaru itu adalah satu tamparan kepada reformasi politik di Myanmar.

Kenyataan itu juga meminta tentera supaya menghormati keputusan rakyat dan mematuhi norma demokrati, sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan menerusi rundingan.

“Semua pemimpin Myanmar perlu bertindak demi kepentingan peralihan demokrasi, melaksanakan dialog yang bermakna, mencegah keganasan dan menghormati sepenuhnya hak asasi dan kebebasan manusia,” kata kenyataan itu.

Majlis Keselamatan PBB juga merancang pertemuan oleh Utusan Khas PBB ke negara itu Christine Schraner Burgener, Khamis ini, menurut diplomat.

Sesi itu dijangka mungkin akan dipercepatkan selepas mengambil kira krisis politik di Myanmar, kata seorang diplomat memberitahu AFP dengan syarat tidak dinamakan.

Suu Kyi yang juga pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dan Win Myint dan beberapa pemimpin kanan NLD ditahan tentera di Naypyidaw, pagi tadi.

Penahanan itu dibuat seminggu selepas Panglima Angkatan Tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan negara itu, sekali gus menangani krisis politik.

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan NLD pimpinan Suu Kyi menang besar.

Myanmar yang baru sedekad keluar selepas hampir 50 tahun diperintah tentera, masih berada di bawah sistem demokrasi dikawal ketat jeneral tentera walaupun pada hakikatnya berkongsi kuasa dengan pentadbiran dipilih rakyat.

Wakil rakyat baru dijangka bersidang di Parlimen hari ini.

Pilihan raya umum pada November lalu adalah pilihan raya demokratik yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator 49 tahun.

Seperti diharapkan, Suu Kyi, tokoh sangat dikenali di Myanmar dan partinya menyapu bersih pemilihan, sekali gus meneruskan pentadbiran mereka selama lima tahun lagi.

Bagaimanapun, tentera mendakwa terdapat 10 juta kes penipuan pemilih di seluruh negara dan mahu siasatan diadakan serta menuntut pelepasan daftar pemilih daripada suruhanjaya pilihan raya bagi tujuan pengesahan.