Sunday, July 25, 2021

Fasa pertama vaksin Covid-19 tiba 26 Februari ini

Vaksin itu kemudian akan diagihkan secara berperingkat ke negeri-negeri dalam tempoh satu hingga dua minggu.

Other News

Malaysia dijangka menerima bekalan fasa pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 26 Februari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata vaksin itu kemudian akan diagihkan secara berperingkat ke negeri-negeri dalam tempoh satu hingga dua minggu.

Noor Hisham berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Malaysia sebelum ini dilaporkan membeli 12.8 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech selain memberi komitmen untuk membeli tambahan 12.2 juta dos lagi vaksin sama.

Sementara itu, Noor Hisham berkata setakat ini seramai 141 sukarelawan telah menerima suntikan bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19, iaitu SARS-COV-2, yang ditaja Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Mereka yang menerima suntikan itu merupakan antara 3,000 sukarelawan berusia 18 tahun ke atas yang telah dipilih berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.

“Jumlah sukarelawan pun kita mahu 3,000 sahaja tetapi jumlah yang mohon lebih ramai daripada angka itu, jadi kita akan buat pemilihan,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berharap isu pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan termasuk oleh fasiliti swasta dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Pihaknya juga berharap fasiliti swasta berdaftar seperti klinik dan hospital dapat melaporkan kes-kes positif kepada CPRC di negeri masing-masing sebelum 12 tengah hari setiap hari.

“Kita lihat makmal-makmal swasta apabila mereka dapat keputusan mereka kena masukkan keputusan itu dalam sistem informasi maklumat kesihatan awam, jadi kalau ada kelewatan masuk data itu maka kita akan terima data itu lewat,” katanya.

Semalam, Noor Hisham dilaporkan berkata peningkatan jumlah kes harian yang mendadak hingga melepasi angka 5,000 selama tiga hari berturut-turut disebabkan oleh pelaporan lewat kes ke CPRC Kebangsaan termasuk kes-kes yang dikesan positif pada 2020.

Peningkatan kes yang mendadak itu disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat dan saringan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri, katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles