- Iklan -
Berita

Bagaimana ‘sekatan’ eksport 2 vaksin Covid akan jejaskan Malaysia?

Walaupun EU memberikan pengecualian kepada 92 negara, Malaysia yang sudah memesan Pfizer dan AstraZeneca tidak dianggap ‘terlalu miskin’ untuk masuk dalam kategori itu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Vaksin keluaran syarikat farmaseutikal AstraZeneca yang dikilangkan di Belanda dan Belgium. Gambar: AP
Vaksin keluaran syarikat farmaseutikal AstraZeneca yang dikilangkan di Belanda dan Belgium. Gambar: AP

MalaysiaNow difahamkan, Malaysia mungkin akan selamat daripada kelewatan pelan pemvaksinan Covid-19 disebabkan keputusan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengawal eksport vaksin yang dihasilkan dalam dalam blok itu, kerana sudah berjaya mendapatkannya daripada beberapa negara di luar EU.

EU baru-baru ini memperkenalkan langkah yang akan menyaksikan 27 negara anggotanya diutamakan untuk mendapatkan vaksin, di sebalik kritikan berhubung kelewatan pemvaksinannya.

Tetapi EU menyalahkan kelewatan untuk menghantar vaksin itu kepada syarikat farmaseutikal dari UK-Sweden, AstraZeneca.

Syarikat itu bagaimanapun menyalahkan gangguan pengeluarannya di kilang-kilang di Belanda dan Belgium.

Pada Jumaat, Suruhanjaya Eropah, badan tertinggi EU mendakwa tidak terdapat ketelusan dalam cara sesetengah syarikat beroperasi, dan menggunakan kuasanya untuk menyekat eksport vaksin di luar wilayahnya.

“Ini bukanlah sekatan eksport. Langkah Ini secara spesifiknya mensasarkan eksport vaksin Covid-19 termaktub dalam perjanjian Advance Purchase Agreement (APA) dengan EU,” kata suruhanjaya itu.

Langkah ini bermakna EU boleh menghentikan eksport vaksin sekiranya syarikat gagal mengikut kontrak untuk membekalkan kepada negara anggota.

Malaysia ‘tak cukup miskin’ untuk pengecualian?

Walaupun EU mengatakan bukan semua negara bukan anggotanya akan terjejas dengan langkah itu, difahamkan Malaysia tidak termasuk dalam senarai negara yang diberikan pengecualian.

EU memberi jaminan bahawa 92 negara yang berpendapatan rendah dan sederhana akan dikecualikan daripada sekatan itu.

Negara-negara ini akan menerima faedah daripada Covax, satu perjanjian global bagi membolehkan negara-negara miskin mendapat akses vaksin Covid-19.

Malaysia antara 190 buah negara yang m menandatangani perjanjian dengan Covax yang turut disokong antara lain oleh Pakatan Vaksin Global (Gavi) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun, dengan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita AS$10,590 atau RM42,800, Malaysia tidak tergolong sebagai negara ekonomi berpendapatan rendah-sederhana seperti yang ditentukan oleh Bank Dunia.

‘Jaringan keselamatan’ dari China, Rusia

Tindakan terbaru EU itu akan menpengaruhi eksport vaksin yang dikeluarkan oleh AstraZeneca dan Pfizer – dua syarikat yang akan membekalkan Malaysia dos awal bagi melawan virus maut itu.

Malaysia memesan sejumlah 19.2 juta dos daripada kedua-dua syarikat itu, merangkumi 30% populasi penduduk negara.

Kedua-dua vaksin keluaran Pfizer dan AstraZeneca mendakwa mampu mencapai kadar keberkesanan antara 60% hingga 90%.

Mereka merupakan antara lima pengeluar vaksin yang membekalkan Malaysia vaksin dengan nilai pembelian melebihi RM2 bilion.

Ia cukup untuk pemvaksinan lebih daripada 80% populasi negara dan mencapai sasaran imuniti kelompok.

Vaksin Pfizer akan menjadi yang pertama tiba di Malaysia bulan depan.

Ia kemudian akan diikuti bekalan vaksin di bawah fasiliti Covax (Mac) dan AstraZeneca (April).

EU mengatakan sekatan eksportnya akan berkuat kuasa sehingga 31 Mac.

“Oleh itu, langkah baru EU itu berkemungkinan akan menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan bekalan vaksin Pfizer dan juga AstraZenaca, jika kesatuan itu melanjutkan sekatan eksportnya,” kata sumber kerajaan kepada MalaysiaNow, tetapi menambah perincian mengenai perkara itu masih tidak mencukupi bagi melihat kesan pelaksanaan EU kepada Malaysia.

“Senario paling buruk kita tidak akan menerima dua vaksin, bagaimanapun terdapat jaringan keselamatan yang dibentuk bersama China dan Rusia,” katanya.

Tiga vaksin lain yang dipesan adalah daripada syarikat Sinovac dan CanSino (China) dan Gamaleya (Rusia), melibatkan 23.9 juta dos.

Keseluruhan vaksin itu, akan memberikan jumlah inokulasi kepada kira-kira 43% populasi.

Sementara itu 10% lagi akan diberi pemvaksinan di bawah kemudahan Covax.

“Vaksin-vaksin ini tidak dipengaruhi oleh keputusan dibuat EU,” kata sumber itu.

Selain Malaysia, langkah EU itu juga turut akan memberi kesan kepada kira-kira 100 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.