- Iklan -
Berita

Parang, senjata api tersedia untuk dibeli tetapi tidak semudah disangka

Pendedahan rancangan serangan solo remaja Singapura membuktikan ia tidak mustahil untuk dilakukan dengan bantuan dalam talian.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Hasil semakan mendedahkan terdapat banyak platform yang menyediakan perkhidmatan membeli senjata api secara haram, termasuk di platform media sosial terkenal Telegram. Gambar: AP
Hasil semakan mendedahkan terdapat banyak platform yang menyediakan perkhidmatan membeli senjata api secara haram, termasuk di platform media sosial terkenal Telegram. Gambar: AP

Akses mudah kepada peralatan yang boleh dijadikan senjata boleh dibeli secara dalam talian tanpa dicurigai mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku serangan pengganas secara solo sama seperti dalam kes seorang remaja Singapura yang ditangkap baru-baru ini.

Cubaan eksperimen MalaysiaNow untuk memperoleh peralatan tajam dan senjata api mendedahkan walaupun agak mencabar untuk membeli senjata api, peralatan seperti parang dan kapak tersedia untuk dijual sama seperti alat-alat kutleri dalam internet termasuk platform beli-belah popular dalam talian.

Pada 27 Januari, pihak berkuasa Singapura mendedahkan mereka berjaya menggagalkan rancangan seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun untuk membunuh umat Islam di dua masjid di negara itu dengan menggunakan parang yang dibelinya secara dalam talian, termasuk ves taktikal.

Hasil siasatan mendedahkan remaja itu merancang melancarkan serangan itu pada 15 Mac, yang kebetulan sama tarikh dengan tragedi pembunuhan kejam 51 orang umat Islam di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand dua tahun lalu.

Pendedahan itu juga menimbulkan beberapa persoalan mengenai betapa mudahnya bagi sesiapa sahaja yang mempunyai akses internet dan kemudahan pembayaran dalam talian untuk membuat persiapan bagi melakukan serangan.

Salah satu platform e-dagang tempatan yang popular dilihat menawarkan sebilah parang dengan harga serendah RM30 dan ves taktikal kira-kira RM60.

Malah wujud kedai khas dalam talian yang menjual parang panjang, dan hasil siasatan menunjukkan pelanggan berpuas hati dengan produk yang dibeli.

“Walaupun ia dijual khusus untuk peminat aktiviti luar, ia dengan mudah boleh dijadikan senjata,” akui salah seorang pembeli yang dihubungi MalaysiaNow.

Singapura dan Malaysia antara negara di dunia yang mengenakan undang-undang yang ketat melibatkan senjata api.

Ia tidak sah di sisi undang-undang dan menjadi satu kesalahan untuk memiliki membawa atau menggunakan apa jua jenis senjata api atau peluru tanpa lesen, yang hampir mustahil untuk dimiliki kerana negara ini tidak mengiktiraf hak bagi memiliki senjata api.

Hanya sebilangan kecil rakyat negara ini memiliki senjata api dan kebanyakannya adalah orang kenamaan.

Bagaimanapun jenayah berkaitan senjata api sering menjadi tajuk berita di negara ini, semuanya disebabkan kawasan sempadan yang luas dan kawasan perairan negara menjadikan sukar bagi pihak untuk mengekang penyeludupan senjata api, dadah, dan manusia.

Hasil semakan mendedahkan terdapat banyak platform yang menyediakan perkhidmatan membeli senjata api secara haram, termasuk di platform media sosial terkenal Telegram.

Seorang penjual yang mempunyai kumpulan Telegram memberitahu wartawan MalaysiaNow mereka boleh menghantar senjata itu dan tanpa perlu melalui pemeriksaan kastam.

“Walaupun ia dijual khusus untuk peminat aktiviti luar, ia dengan mudah boleh dijadikan senjata,” akui salah seorang pembeli yang dihubungi MalaysiaNow.

Pembayaran boleh dilakukan dalam bentuk bitcoin, dan senjata tersebut akan dikirim dalam beberapa pecahan bahagian.

“Kami mempunyai senjata api jenis glock dan revolver. Penghantaran akan dilakukan melalui beberapa bahagian dan dihantar terus ke depan pintu rumah anda,” kata seorang penjual yang beroperasi di aplikasi Telegram.

“Untuk glocks anda perlu bayar sekitar RM2,264 dan dihantar terus ke depan pintu rumah. Dihantar dalam beberapa bahagian,” penjual itu memberi jaminan.

Apabila ditanya adakah ia selamat dan tidak mendatangkan masalah, dia menjawab “Ya”.

Setiap pesanan perlu membayar deposit sekitar RM400 atau AS$100 tetapi dalam bentuk bitcoin.

Bitcoin merupakan mata wang digital tanpa bank pusat atau pentadbir, dan boleh dihantar daripada pengguna ke pengguna lain di dalam rangkaian bitcoin tanpa perantara.

Sejak ia dilancarkan pada 2008, bitcoin kian popular, tetapi pengkritik mengatakan ia disebabkan mata wang itu mudah digunakan untuk membeli barangan haram, manakala ada yang mengatakan ia tempat mencuci kegiatan pengubahan wang haram, membiayai aktiviti pengganas dan lain-lain kegiatan jenayah.

Percubaan remaja dari Singapura membeli senjata api mungkin bukannya kes pertama di rantau ini.

Ves taktikal dari sebuah platform dalam talian yang dibeli remaja Singapura dan jenis parang bakal digunakan dalam serangan yang dirancang. Gambar: ISD

Pada 2013, pihak kastam merampas lima senapang dengan sejumlah peluru bernilai lebih RM2,000, yang dipesan seorang murid berusia 15 tahun dari Ipoh, Perak.

Pengalisis jenayah Kamal Affendy Hashim pelbagai agensi penguatkuasaan berusaha memastikan setiap penghantaran tidak melibatkan urusan barang yang diharamkan.

“Jika pihak berkuasa mengesyaki terdapat sesuatu keraguan, pihak berkuasa akan memanggil individu atau syarikat yang mengimport sebelum penghantaran itu dapat dilepaskan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kamal tidak menafikan sempadan negara yang luas – meliputi kawasan lebih 3,000km kawasan darat dan lautan – menjadi cabaran buat agensi penguatkuasaan, termasuk menghalang aktiviti penyeludupan senjata api.

“Oleh kerana sempadan negara yang besar, terdapat laluan lorong tikus kepada penyeludup untuk mengeksplotasi geografi ini,” tambahnya.

“Akan tetapi, pihak berkuasa kita amat konsisten dalam menjalankan kewajipan sama ada rondaan darat atau udara dan juga secara risikan maklumat,” katanya, selepas tertangkapnya beberapa individu yang dikaitkan dengan kumpulan radikal baru-baru ini.

Sementara itu, Kamal tidak melihat penjualan peralatan tajam dalam talian menimbulkan sebarang masalah.

“Barang-barang keperluan yang boleh didapati dalam pasaran tempatan seperti pisau atau kapak tidaklah menjadi isu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Yang lebih membimbangkan adalah jika ejen bagi pengimportan sesebuah syarikat membuat deklarasi palsu bagi kontena kargo.”