- Iklan -
Berita

Polis siasat ‘Anonymous Malaysia’

Semalam Anonymous Malaysia memberikan amaran kedua untuk melancarkan serangan siber.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ancaman daripada penggodam siber masih terkawal setakat ini. Gambar: Facebook
Ancaman daripada penggodam siber masih terkawal setakat ini. Gambar: Facebook

Polis membuka satu kertas siasatan terhadap “Anonymous Malaysia” yang memberi amaran kedua untuk melancarkan serangan siber, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Zainuddin Yaacob berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia menerima laporan berhubung ancaman penggodam terbabit dan akan menjalankan siasatan atas kesalahan mendatangkan khianat awam dan ugutan jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 dan 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998),” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, kumpulan penggodam Anonymous Malaysia membuat ancaman untuk menggodam laman sesawang kerajaan menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial.

Anonymous Malaysia semalam mengeluarkan satu lagi video berdurasi tiga minit 17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel, panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.

Antara dakwaan kumpulan itu dalam klip video berdurasi 55 saat ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.

Anonymous Malaysia semalam mengeluarkan satu lagi video berdurasi tiga minit 17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel, panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.

Kumpulan itu mendakwa punca utama perkara itu berlaku kerana pelayan daripada pihak swasta dan kerajaan yang mengandungi maklumat peribadi digodam dan dibocorkan sebelum dijual kepada pihak ketiga.

Pada Selasa lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (Nasca) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.