- Iklan -
Berita

KDNK akan melantun tahun ini disebabkan lebihan dagangan tertinggi dalam 2 dekad

Produk elektrik menyumbang kepada eksport terbesar tahun lepas dan peningkatan produk getah memberikan sinar selepas norma baru pandemik di seluruh dunia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar dirakam pada 26 Ogos lalu, menunjukkan seorang pekerja kilang Top Glove sedang memeriksa sarung tangan keluaran syarikat itu. Gambar: AFP
Gambar dirakam pada 26 Ogos lalu, menunjukkan seorang pekerja kilang Top Glove sedang memeriksa sarung tangan keluaran syarikat itu. Gambar: AFP

Putrajaya yakin 2021 akan menyaksikan prestasi ekonomi lebih baik walaupun pandemik Covid-19 terus menyaksikan peningkatan jangkitan dan kematian di seluruh dunia hingga menyebabkan perintah kawalan pergerakan kembali dilaksanakan.

Dalam laporan terperinci berhubung prestasi perdagangan negara, Putrajaya berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka melantun antara 6.5% dan 7.5%, lebih tinggi daripada diramalkan bagi kumpulan Asean-5.

Pertumbuhan bagi kumpulan itu, yang meletakkan Malaysia bersama Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand diramalkan pada 5.2%.

Ia juga menyaksikan permintaan lebih tinggi bagi produk berasaskan semikonduktor dan komoditi untuk meningkatkan eksport tahun ini.

Laporan dikeluarkan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri itu juga menunjukkan lebihan dagangan tahun lepas merupakan tertinggi dalam lebih dua dekad walaupun Covid-19 mendatangkan kesan kepada ekonomi.

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berkata, keyakinan pelabur disokong pengesahan baru Moody’s bagi penarafan penerbit jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3, dengan unjuran stabil.

“Ini jelas membuktikan disiplin fiskal kerajaan yang kukuh dan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang mampan serta memberikan gambaran keyakinan Moody’s terhadap Malaysia yang memiliki kedudukan kredit yang kukuh.

“Di saat yang mencabar ini, keutamaan kerajaan adalah untuk meletakkan hala tuju negara kembali kepada usaha pemulihan ekonomi terutamanya dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12, satu pelan tindakan untuk pertumbuhan yang lestari berpaksikan kepada asas-asas ekonomi yang kukuh dan kebijakan yang jitu,” kata Azmin yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Lebihan dagangan merekodkan pertumbuhan dua digit selama empat tahun berturut-turut, tetapi tahun lepas meningkat 26.9% kepada RM184.79 bilion berbanding 2019, terbesar setakat ini sejak 1998.

Sementara eksport menurun 1.4% pada 2020 disebabkan sekatan terhadap aktiviti ekonomi, melantun pada separuh kedua 2020, meningkat sebanyak 4.8%.

Pengurangan eksport direkodkan ke Thailand, India, Bangladesh, Vietnam dan Jepun manakala kenaikan eksport dicatatkan ke China, AS, Singapura dan Hong Kong.

China kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia dengan peningkatan sebanyak 12.5% kepada RM158.6 bilion, menyumbang kepada 16.2% jumlah keseluruhan eksport pada 2020.

“Peningkatan ini dipacu oleh kenaikan eksport barangan besi dan keluli, barangan perkilangan lain (SSD), barangan E&E, barangan perkilangan logam, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, keluaran getah serta barangan kertas dan pulpa,” kata laporan itu.

Eksport ke EU bernilai RM84.06 bilion, menurun 4.3% terutamanya disebabkan oleh eksport yang lebih rendah bagi barangan E&E.

Penurunan ini diimbangi oleh kenaikan eksport keluaran getah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

“Eksport keluaran getah ke EU meningkat dua kali ganda kepada RM9.33 bilion berbanding tahun sebelumnya manakala eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit melonjak 36.4% kepada RM7.11 bilion”.

Produk E&E merupakan yang terbesar dalam eksport Malaysia pada 2020 dengan RM386.11 bilion, meningkat 3.5% berbanding 2020.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport litar bersepadu elektronik, kelengkapan penghantaran atau penerimaan suara, imej dan data serta alat ganti bagi litar bersepadu elektronik di mana kesemua komponen ini amat penting bagi menyokong amalan berkerja dari rumah,” kata laporan itu.

Selari dengan peningkatan permintaan global terhadap peralatan perlindungan diri (PPE) berikutan krisis Covid-19, eksport keluaran getah khasnya sarung tangan getah merekodkan pertumbuhan kukuh pada tahun 2020.

“Eksport sarung tangan getah meningkat dua kali ganda kepada RM35.26 bilion berbanding tahun 2019”.