- Iklan -
Berita

Putrajaya dalam dilema, kesihatan awam atau ekonomi?

Ahli politik kerajaan dan pembangkang merasakan tiada naratif yang jelas mengenai langkah dalam memerangi pandemik, walaupun selepas beberapa siri perbincangan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Wujud keperluan menyeimbangkan antara ekonomi dan kesihatan awam, menjelang tarikh akhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Februari.
Wujud keperluan menyeimbangkan antara ekonomi dan kesihatan awam, menjelang tarikh akhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Februari.

MalaysiaNow difahamkan dalam satu mesyuarat melibatkan menteri-menteri, pegawai kesihatan kanan serta pemimpin negeri membabitkan kerajaan dan pembangkang berlaku perdebatan mengenai keperluan menyeimbangkan antara ekonomi dan kesihatan awam, menjelang tarikh akhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Februari dalam usaha mengekang peningkatan jangkitan Covid-19.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut mengajukan beberapa soalan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, yang mahukan penjelasan mengenai spekulasi kerajaan mahu menamatkan PKP minggu depan.

Chow turut mempersoalkan pegawai-pegawai kementerian kesihatan mengenai rancangan jangka panjang untuk mengawal penularan pandemik, yang kini mencapai jumlah jangkitan 200,000 sejak virus itu pertama kali dikesan di negara ini tahun lalu.

“Sama seperti kerajaan lain di seluruh dunia, Putrajaya kini dalam dilema dalam meningkatkan usaha memerangi pandemik Covid-19: yang mana perlu didahulukan – usaha melindungi kesihatan awam atau memastikan ekonomi tidak lumpuh dan akan memberi kesan kepada rakyat lebih serius daripada Covid-19?

Dalam mesyuarat itu, kedua-dua ahli politik kerajaan dan pembangkang merasakan tiada naratif yang jelas mengenai langkah dalam memerangi pandemik, walaupun selepas beberapa siri perbincangan.

Wujud juga kebimbangan mengenai jangkitan harian kekal tinggi dalam tempoh tiga minggu ketika PKP yang bakal berakhir pada 4 Februari ini.

Semalam, 10 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang maut 717 orang, manakala 4,094 disahkan positif Covid-19.

Hospital-hospital di seluruh negara yang dikhaskan untuk merawat pesakit Covid-19 kini beroperasi pada kapasiti maksimum, menyebabkan kerajaan terpaksa meminta bantuan daripada sektor swasta untuk menyediakan beribu-ribu katil bagi merawat kes-kes baru.

Satu lagi perkara yang membimbangkan sekiranya PKP ditamatkan – yang mana sekatan lebih ketat dikenakan terhadap perniagaan dan juga aktiviti seperti melancong, perjumpaan dan makan di restoran – ia dikhuatiri akan memberi isyarat salah kepada orang ramai seolah-olah memberi gambaran pihak berkuasa sudah tewas dan putus asa.

“Dan wujud juga kerisauan sekiranya ada dakwaan dilemparkan kepada kerajaan lebih pentingkan ekonomi berbanding kesihatan,” kata sumber kepada MalaysiaNow.

Pada Isnin, Noor Hisham mengatakan beliau optimis kes jangkitan harian yang tinggi mampu menurun kepada dua digit menjelang Mei, dan menambah pihak berkuasa tidak akan menyambung PKP selepas tarikh akhir pada 4 Februari.

Sebaliknya, beliau mengatakan PKP akan digantikan dengan PKP Bersyarat selama tiga bulan, di mana perniagaan dibenarkan beroperasi dengan sekatan perjalanan dilonggarkan.

“Kita tidak mahu melanjutkan PKP kerana ia akan menjejaskan ekonomi. Oleh itu, kita perlu seimbangkan antara ekonomi dan kesihatan,” katanya semasa satu sidang media pada 25 Januari.

Di sebalik pengumuman Noor Hisham, belum ada sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan sama ada PKP akan disambung.

Sementara itu, MalaysiaNow difahamkan Noor Hisham akan membentangkan pelan jangka panjang kementerian kesihatan memerangi pandemik Covid-19 minggu depan.

“Pembentangan itu akan mendedahkan data-data sama ada pelaksanaan PKP kali kedua pada tahun ini berjaya ataupun tidak,” tambah sumber itu.

Terdapat kritikan dilontarkan kepada Noor Hisham dan kementerian kesihatan mengenai kegagalan PKP kali ini.

Ada juga yang mempersoalkan mengenai kebenaran diberikan kepada terlalu banyak sektor perniagaan terus beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Secara umum masih terlalu awal untuk mengukur keberhasilan PKP 2.0,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.