- Iklan -
Berita

PH ambil tindakan undang-undang, dakwa darurat dilakukan sebab arahan PM

PH berkata, perdana menteri bersama Kabinet bertindak secara tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pakatan Harapan mengatakan sidang Parlimen dan DUN penting bagi membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak Covid-19. Gambar: Bernama
Pakatan Harapan mengatakan sidang Parlimen dan DUN penting bagi membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak Covid-19. Gambar: Bernama

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan satu semakan dilakukan terhadap kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang berkenaan penggantungan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Permohonan itu dikemukakan oleh tiga orang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Salahuddin Ayub (Simpang Jeram), Johari Abdul (Gurun) dan Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi).

Menurut satu kenyataan dikeluarkan secara bersama oleh Saifuddin Nasution (PKR), Hatta Ramli (Amanah) dan Anthony Loke (DAP), tindakan mahkamah ini bukan bertujuan untuk mencabar Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari lalu, tetapi bagi menentukan status penggantungan sidang Parlimen dan DUN.

“Permohonan ini dibuat bagi menentukan bahawa kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat tersebut yang membenarkan penggantungan sidang Parlimen dan DUN adalah tidak sah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.

Pada 14 Januari, Anwar memberitahu ahli Parlimen bahawa tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat Covid-19 tidak sah, mengatakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencukupi untuk memerangi pandemik itu.

Katanya, Agong perlu membatalkan pengisytiharan darurat itu dan mengarahkan sesi Parlimen diadakan pada hujung bulan ini.

Anwar juga menyediakan draf surat untuk digunakan oleh ahli-ahli Parlimen apabila mereka menulis ke Istana, dan menyuruh mereka untuk berbuat demikian pada 15 Januari.

Semalam MalaysiaNow difahamkan Bukit Aman sedang menyiasat Anwar berhubung kenyataan yang disiarkan secara dalam talian mendesak Yang di-Pertuan Agong membatalkan proklamasi darurat.

Siasatan itu dilakukan selepas beberapa laporan polis mendakwa Anwar melakukan hasutan dengan mempersoalkan kuasa Perlembagaan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Kata kenyataan itu lagi perdana menteri bersama Kabinet bertindak secara tidak sah dan melanggari Perlembagaan Persekutuan apabila menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk menggantung sidang Parlimen dan DUN.

“Kerajaan persekutan, kerajaan-kerajaan negeri, dan wakil rakyat di seluruh negara memerlukan persidangan-persidangan pada waktu kritikal ini untuk mengumpulkan suara rakyat yang diwakili, membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak Covid-19 serta urusan lain yang membabitkan pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat.”

Tambah kenyataan itu PH mengambil tindakan mahkamah ini atas komitmen dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.