- Iklan -
Berita

Persatuan doktor sambut baik pelan ‘komprehensif’ pemvaksinan Covid-19 Putrajaya

MMA berkata ketelusan dan lebih banyak maklumat diperlukan, dan berikrar memberi kerjasama melibatkan 7,000 ahlinya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba pada penghujung Februari. Gambar: AFP
Vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba pada penghujung Februari. Gambar: AFP

Persatuan doktor-doktor perubatan negara ini menyambut baik rancangan kerajaan bagi mencapai imuniti kelompok sehingga 80% daripada populasi untuk mengekang pandemik Covid-19 menjelang akhir tahun ini, dengan mengatakan langkah itu sebagai “strategik dan komprehensif”.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut mengatakan kira-kira 7,000 doktor klinik swasta dapat menyertai program tersebut, dan menambah klinik dapat memainkan peranan lebih besar terutama di kawasan penduduk padat yang lebih berisiko berlaku penularan covid-19.

“Sebahagian besar klinik swasta terletak di kawasan ini. Oleh itu ia memberikan akses lebih cepat dan lebih mudah kepada penduduk,” kata Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy.

Katanya, penglibatan sektor kesihatan swasta dalam ujian massa virus itu menjadikan mereka lebih bersedia dalam menyelaras pemvaksinan dalam skala besar seperti Covid-19.

Malaysia antara negara yang masih menunggu bekalan pertama vaksin, ketika berlaku lonjakan kes tinggi yang menyaksikan jangkitan harian melepasi angka 4,000 beberapa kali bulan ini.

Pihak berkuasa kesihatan akan membuka pendaftaran sukarela imunisasi vaksin Covid-19 tidak lama lagi dengan menyasarkan 70% imuniti kelompok melibatkan 23 juta rakyat negara ini.

Malaysia menempah sebanyak 25 juta dos vaksin Pfizer, dengan separuh daripadanya dijadualkan tiba pada akhir Februari.

Sementara itu, MMA berharap kerajaan dapat menjamin ketelusan dan menghalang “orang tengah atau ejen bukan penjagaan kesihatan” daripada terlibat dalam pengurusan vaksin, dan menambah ia perlu dilaksanakan oleh “pegawai perubatan yang terlatih dan berkelayakan”.

Ia mengatakan program vaksinasi kebangsaan untuk Covid-19 tidak pernah berlaku sebelum ini, dan lebih banyak maklumat perlu disalurkan bagi menyakinkan orang ramai untuk menerima suntikan tersebut.

Semalam Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang kementeriannya diberi tanggungjawab untuk memperoleh bekalan vaksin Covid-19 daripada beberapa firma farmaseutikal mengatakan Putrjaya akan memulakan program pemvaksinan ke atas 75,000 orang sehari di 600 tempat vaksinasi di seluruh negara bermula Mac.

Tempat-tempat itu merangkumi klinik-klinik dan hospital kerajaan, kemudahan perubatan universiti dan tentera serta klinik swasta.