- Iklan -
Berita

Pandemik Covid-19 bawa ‘rahmat’ kepada penerbangan kargo

Pesawat kargo mengalami peningkatan dalam penerbangan disebabkan pembelian dalam talian tinggi.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sebelum pandemik pesawat kargo hanya mempunyai sekitar 50 penerbangan sehari, tetapi kini ia mencecah sehingga 70 penerbangan.
Sebelum pandemik pesawat kargo hanya mempunyai sekitar 50 penerbangan sehari, tetapi kini ia mencecah sehingga 70 penerbangan.

Ketika kebanyakan perniagaan terjejas selepas pandemik Covid-19 melanda, pesawat kargo mengalami peningkatan dalam penerbangan disebabkan pembelian dalam talian yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan orang ramai tidak boleh keluar membeli-belah di pasar raya dan pusat membeli belah, platform e-dagang secara dalam talian menjadi pilihan.

Menurut seorang pegawai trafik udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, sebelum ini pesawat kargo hanya mempunyai sekitar 50 penerbangan sehari, tetapi kini ia mencecah sehingga 70 penerbangan dalam sehari.

“Manakala penerbangan komersil pula dilihat lebih terhad dan hanya beroperasi bagi mereka yang mempunyai surat perjalanan atas dasar kerja dan melibatkan penerbangan dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia,” katanya yang tidak mahu dinamakan kepada MalaysiaNow.

Sementara itu perolehan AirAsia merosot kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion sebelum ini.

Pegawai trafik udara yang sudah berkhidmat 14 tahun itu berkata, pertambahan penerbangan kargo menunjukkan satu perkembangan positif.

Katanya, perkhidmatan penerbangan kargo menerima lonjakan permintaan dua kali ganda sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Kami sebagai Pegawai Trafik Udara sebelum ini 9 orang ditugaskan mengawal dan memerhati trafik udara namun disebabkan PKP hanya 5 orang sahaja bertugas manakala 4 lagi akan bertugas dari rumah.

“Meskipun penerbangan kargo bertambah dan setiap daripadanya perlukan kawalan daripada trafik udara namun ‘man power’ kami terpaksa dikurangkan mengikut jadual dan adakalanya membuatkan kami perlu mengawalnya dengan baik dan teratur,” katanya.

Tahun lalu dilaporkan prestasi kewangan syarikat tambang rendah popular negara AirAsia Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.09 juta pada suku tahun sama tahun lalu.

Sementara itu perolehan AirAsia merosot kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion sebelum ini.

Salah satu syarikat yang menggendalikan penerbangan kargo MyJet Xpress Airlines Sdn Bhd (MyJet) September lalu dilaporkan merekodkan keuntungan hampir dua kali ganda pada tahun 2020 berbanding dua tahun terdahulu.

Manakala bagi tahun 2021, MyJet menyasarkan keuntungan melebihi tiga kali ganda.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata tahun lalu, aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April 2020, ketika buat kali pertama negara melaksanakan PKP.