- Iklan -
Berita

Dr Siti Hasmah bidas golongan anti vaksin

Siti Hasmah juga merayu supaya vaksin Covid-19 turut diberikan kepada kanak-kanak.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, golongan anti vaksin seharusnya berfikir tentang keburukan yang bakal menimpa anak-anak mereka pada masa akan datang. Gambar: Facebook
Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, golongan anti vaksin seharusnya berfikir tentang keburukan yang bakal menimpa anak-anak mereka pada masa akan datang. Gambar: Facebook

Menjelang vaksin Covid-19 yang bakal tiba di Malaysia pada Februari, Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, golongan anti vaksin seharusnya berfikir tentang keburukan yang bakal menimpa anak-anak mereka pada masa akan datang.

Beliau yang merupakan antara doktor wanita terawal Malaysia berkata, apa yang membimbangkan ialah golongan anti vaksin ini juga terdiri daripada kumpulan profesional.

“Yang peliknya orang yang anti vaksin dan anti imunisasi adalah orang profesional bukannya orang-orang kampung,” kata isteri kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam video yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.

“Ibu bapa yang menentang beri imunisasi kepada anak mereka adalah mereka yang ‘selfish’ pentingkan diri sendiri dari segi bila mereka kecil dulu, masa kanak-kanak mak bapa mereka bagi suntikan imunisasi ini kepada mereka sehinggalah mereka sihat dapat kahwin dapat anak.

“Tapi kenapa anak-anak kita pula dilarang untuk mendapat imunisasi itu sendiri waktu dia kecil sebab tu saya kata mereka itu ‘selfish’ walhal imunisasi itulah yang menjaga masa kecil sehinggakan mereka sihat walafiat.”

Sehingga semalam, hampir 200,000 rakyat Malaysia sudah dijangkiti wabak Cobid-19 dan sudah meragut nyawa lebih 700 orang.

Dalam video berdurasi tiga minit itu, Siti Hasmah juga merayu supaya vaksin Covid-19 turut diberikan kepada kanak-kanak kerana mereka juga berdepan dengan risiko dijangkiti wabak ini.

Tahun lalu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak tersenarai sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 yang bakal diberikan secara percuma kepada 70% daripada populasi rakyat Malaysia.

Siti Hasmah berkata, beliau mengharapkan kerajaan melakukan kajian terperinci sebelum membeli vaksin Covid-19 bagi memastikan keberkesanannya.

“Jadi saya merayu jangan lupa kanak-kanak ini lah pula ada vaksin Covid-19 pula kan. Jadi perlu lah kajian dulu sebelum diberikan kepada rakyat.”

Siti Hasmah turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk terus menjaga diri dengan memakai pelitup muka dan inilah norma baru yang perlu diikuti semua tanpa mengira umur.