Monday, July 26, 2021

Rayuan Anwar batal saman kesahan pengampunan diraja 18 Mac

Pendengaran kes tersebut yang sebelum ini ditetapkan pada 28 Julai, telah dipercepatkan kepada bulan Mac.

Other News

Rayuan Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membatalkan saman berhubung kesahan pengampunan diraja yang diberikan kepada beliau dalam kes liwat akan didengar pada 18 Mac.

Perkara itu disahkan peguamnya J. Leela dalam satu teks mesej menyatakan tarikh pendengaran kes tersebut yang sebelum ini ditetapkan pada 28 Julai, telah dipercepatkan kepada bulan Mac.

Rayuan itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini. Peguam Mohamad Farhan Kamarudin mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, juga seorang peguam, yang memfailkan saman itu terhadap Anwar.

Rayuan Anwar akan didengar bersama dengan rayuan Lembaga Pengampunan.

Pada 21 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan bahawa Mohd Khairul Azam mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan perundangan kerana beliau adalah orang awam serta individu yang berkelayakan sebagai peguam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu (Anwar) memfailkan permohonan bagi membatalkan saman itu atas alasan, antara lain, Mohd Khairul Azam tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman pemula serta ia adalah remeh, mengaibkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Mohd Khairul Azam, yang memfailkan saman pemula pada 26 Februari tahun lepas, menamakan Lembaga Pengampunan serta Anwar sebagai responden dan mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan telah diambil bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan yang membebaskan beliau dari penjara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau mendakwa pengampunan yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong adalah bertentangan dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berdasarkan fakta bahawa pengampunan yang diberikan Agong hendaklah diasaskan kepada nasihat Lembaga Pengampunan.

Mohd Khairul Azam mendakwa lembaga itu belum dibentuk secara rasmi selepas Pilihan Raya Umum pada 9 Mei 2018 dan pembentukan kerajaan baharu.

Anwar telah dihukum penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan sabitan serta hukuman itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles