- Iklan -
Berita

Keputusan permohonan Najib gugur Sri Ram 15 Februari

Najib mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram pada 12 Jun tahun lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram tidak pernah dikenakan sebarang salah laku pendakwaan oleh mahkamah sehingga hilang kelayakan untuk mengendalikan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata demikian semasa mendengar permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan meminda laporan 1MDB di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Bukti yang dikemukakan dalam semua perbicaraan yang dikendalikannya sebagai wakil pendakwaan adalah relevan dan dapat diterima,” katanya.

Beliau berkata isu siasatan dan berat sebelah yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut telah diputuskan oleh mahkamah dan oleh itu ‘res judicata’ (perkara diputuskan) terpakai.

Selain itu, menurutnya, perbualan melalui aplikasi WhatsApp di antara Sri Ram dan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali pada 2018 hanyalah perbualan antara dua sahabat lama.

Ahmad Akram berkata pemohon juga mengemukakan dalam hujahan bertulis bahawa Sri Ram terlibat dalam penyiasatan berkaitan 1MDB yang menyebabkan beliau membuat penilaian awal atas kesalahan pemohon.

“ Kuasanya untuk menyelia siasatan yang dilakukan oleh Pegawai Penyiasat (IO) dalam kapasitinya sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan tidak boleh disalah anggap sebagai mengambil alih siasatan.

“Pemohon gagal menunjukkan bukti bahawa Sri Ram memang terlibat dalam siasatan terhadapnya. Oleh itu, dakwaan bahawa Sri Ram telah mengambil alih siasatan adalah tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, membalas hujahan tersebut, dengan berkata permohonan menggugurkan Sri Ram bukan bertujuan membatalkan keseluruhan perbicaraan (audit 1MDB) yang berlangsung setakat ini tetapi hanya untuk melihat prosiding dilakukan tanpa berat sebelah.

“Permohonan ini bukan bertujuan menghukum sesiapa atau Sri Ram tetapi menentukan sifat berat sebelah yang nyata kerana Sri Ram telah membuat andaian Najib bersalah sebelum didakwa di mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim Mohamed Zaini menetapkan 15 Februari ini bagi memberi keputusan terhadap permohonan Najib.

Pada 12 Jun tahun lalu, Najib, 67, mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram dengan disokong oleh dua afidavit yang difailkan oleh Najib dan Mohamed Apandi.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.